Telah menjadi satu ketetapan bahawa setiap sesuatu yang bermula itu pasti akan ada penghujungnya. Ternyata antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam dalam taqwimnya iaitu Ramadhan Al-Mubarak sudah menghampiri ke landasan akhir untuk tahun ini. Selama sebulan beribadah dengan bersahur, bersiyam (puasa), iftar dan bertarawih tentunya akan melahirkan rasa sayu dan rindu kepada mereka yang menjiwai sepenuhnya bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Tambahan lagi, setiap bulan suci pasti dibekalkan oleh Allah pada kaum Muslimin dengan ilmu kemenangan yang intinya adalah kesabaran untuk taat dan patuh kepada Allah dan Rasulnya secara keseluruhannya.

Berakhirnya Ramadhan bererti jiwa dan tubuh seorang muslim itu akan kembali kepada fitrah (asal) sepertimana keadaan diri sebelumnya. Tiada bekalan yang baik bagi mereka melainkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi untuk di bawa dan diterjemahkan ke ruang kehidupan sehinggalah ditemukan semula Ramadhan pada tahun berikutnya. Hikmah sebulan berpuasa tidak hanya semata-mata terkandung di bulan Ramadhan tetapi  bagi orang beriman "puasa"nya  akan tetap terus sehinggalah takbir kemenangan yang besar bakal berkumandang.



Begitulah seterusnya dalam melengkapkan setahun perjalanan seorang muslim itu, selagi hayat dikandung badan dan selagi ruh melekat pada jasad, melaksanakan ibadah yang ditentukan adalah perkara yang wajib dilakukan tanpa rasa berat, jemu mahupun terpaksa. Mengikut hukum fitrahnya dijadikan manusia itu adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah sepertimana firman Nya yang bermaksud :

" Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." Adz-Dzariat, 51:56.

Seakan satu pusingan dalam sebuah lingkaran, kemudian diletakkan satu titik (ibadah) maka apabila  seseorang itu bergerak pasti akan ditemukan semula titik tersebut. Sekecil-kecil lingkaran adalah solat lima waktu yang pastinya terdapat lima titik yang perlu disempurnakan oleh seorang Muslim setiap hari dalam hidupnya. Di setiap titik itulah menjadi ruang singgah untuk seorang hamba mengadu, merintih, meminta dan sebagainya kepada sang Rabb kerana tanpa titik-titik tersebut perjalanan dalam lingkaran kehidupan seseorang pasti akan terganggu, berliku atau tidak berasa aman dan selamat. Maka tidak hairanlah pada surah Al-Fatihah ayat yang ke enam (setiap hari di baca dalam sembahyang)  Allah SWT telah mengajar dan mengingatkan kita untuk senantiasa berdoa dan mengucapkan "ihdinassiro thal Mustaqim" @ "tunjukilah kami jalan yang lurus" kerana sememangnya diketahui bahawa kebanyakkan jalannya setiap hari manusia itu adalah berkeadaan bengkang-bengkok kerana sering melakukan kesilapan dan dosa sama ada yang sedar atau sebaliknya.

Begitulah yang dinamakan lingkaran kehidupan yang pasti ada ulangannya. Ketetapan seumpama ini sememangnya tidak dapat ditolak sebagai hamba yang mahukan keredhaan dari Ilahi pada seluruh kulit, isi dan biji kehidupannya. Dalam bahasa yang sering didengar di sebut ia sebagai sunnatullah iaitu ketetapan (tradisi) oleh Allah pada alam dan di dalam kehidupan yang tidak akan pernah berubah. Seandainya dapat difahami dan dihayati bahawa pengetahuan tentang sunnatullah sebenarnya dapat membantu orang Mukmin dalam melaksanakan kewajiban dan bersungguh-sungguh (jihad) dalam melaksanakan ibadah. Waima yang lebih utama dalam ruang dan bentuk sunnatullah itu adalah dapat meningkatkan keyakinan dalam bertauhid dan bersuluk iaitu mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah Azzawajalla.

Sudah menjadi sunnatullah, bahawa setiap ibadah yang diwajibkan kepada manusia senantiasa beriringan dengan ilmu dan hikmah yang tersimpan di dalamnya. Namun kebanyakkan manusia tidak mengambil pelajaran dalam setiap huda (petunjuk), bayyinat (bukti) dan furqan (pembeza) dalam setiap perkara dan urusan yang sudah di lakar, di lukis dan diwarnakan oleh Allah pada alam dan kehidupan ini. Dengan mendengar akan petunjuk pada sunnatullah terhadap kejadian alam semester ini contohnya, bahawa tiap-tiap sesuatu yang dijadikan Allah itu pastilah di dalam keadaan paling seimbang, keteraturan dan terus berkembang. Buktinya dapat di lihat melalui pena Allah SWT iaitu jutaan bintang dan planet yang bergerak dalam lingkaran dan paksinya tanpa ada sebarang pertembungan dan perselisihan antara satu lainnya melainkan dengan izin dari Nya. Ini telah diperjelaskan oleh Allah dalam firman Nya:

"Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis, kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" (Al-Mulk, 67:3)


"Kemudian pandanglah sekali lagi niscaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah" (Al-Mulk, 67:4)



Langsung Allah SWT mahukan kita untuk membezakan (furqan) dengan akal dan hati adakah masih ada ragu-ragu terhadap sunnatullah yang telah berulang sejak alam ini diciptakan..


Memahami sunnatullah juga dapat membantu dalam pelaksanaan menegakkan yang Haq iaitu melalui sejarah yang telah dipertunjukkan pada orang yang terdahulu. Secara fitrahnya apabila terjadinya sesuatu kerusakan atau kejahiliyah di alam manusia, menjadi sunnatullah bahawa setiap Nabi/Rasul akan diutus yang senantiasa beriringan dengan para shiddiqin, syuhada' dan para sholihin. Ini dibuktikan oleh Allah sendiri dalam firman Nya : 

"Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul (Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." (an-Nisa' 4:69)

Secara sederhana, dalam sejarah telah dicatatkan bahawa setiap insan besar (yang memikul amanah Allah) tidak pernah lahir secara keseorangan atau sendirian. Secara sunnatullah nya, pasti diiringi dengan sejumlah pasukan yang kuat yang mengelilingi insan yang di pilih oleh Allah SWT tersebut. Begitulah juga telah ada sunnatullah kepada orang yang kafir, pendurhaka atau penzalim di dunia ini yang akan di azab oleh Allah dengan menggunakan tanah, air, angin, api dan tangan-tangan orang yang beriman. Contoh sunnatullah yang menjadikan air sebagai sarana azab atas orang yang ingkar lagi zalim telah termaktub dalam al-Quran yang berkaitan dengan kaum Nabi Nuh A.S dan Firaun bersama pengikutnya.

" Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya)" (al-A'raf 7:64)

" Kemudian Kami menghukum mereka, maka Kami tenggelamkan mereka di laut disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka adalah orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami itu." (al-A'raf 7:136)

Sesungguhnya ketetapan Allah SWT di alam dan dalam kehidupan ini tidak akan pernah berubah. Maka marilah berusaha segala daya-upaya dan ikhtiar, yang diwajibkan atau diharuskan, atau dibolehkan Allah dan rasul-Nya..untuk menempuh dan menyempurnakan dalam usaha mendapatkan keredhaan dan kemenangan dari Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani.

Wallahualam.

Salam Idlul Fitri 1433H

_______________________________________________________________________________
Daftar Bacaan

Ibnu Bahasan, Halumma Ila Mardhatillah (Mari Menuju Ridha Allah), Penerbit MaraMedia, 2010
http://id.wikipedia.org/wiki/Sunnatullah






Berikan Komen