Prinsip Penciptaan Manusia

"Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia waktu itu belum merupakan sesuatu yang belum dapat di sebut.Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis air mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya ( dengan perintah dan larangan, kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat." Al-Insaan :1-2

Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah ini di mana ayat pertama ditegaskan akan proses kejadian manusia daripada sesuatu yang belum ada sebutannya atau pada saat manusia itu belum wujud sama sekali. Ayat kedua pula diterangkan unsur-unsur atau kaedah penciptaan manusia iaitu dari setitis air mani yang dipenuhi jutaan sperma (nutfah) lelaki yang akhirnya satu menjadi pilihan untuk bercampur dengan ovum perempuan dengan izin dan perintah dari Allah SWT. Berasal dari sulbi lelaki dan tulang-tulang dada perempuan dan keluar secara berpancaran sebagai mana firman Allah dalam surah Ath Thaariq : 6-7," Dia menciptakan dari air yang berpancaran yang keluar dari antara tulang sulbi dan tulang dada." Apa yang dimaksudkan Allah bahawa manusia ini diciptakan Nya adalah untuk di uji dengan perintah (taklif) dan larangan setelah dia mencapai dewasa (berakal) iaitu mampu membezakan antara yang benar dan yang salah. Dengan kata lain maksud penciptaan manusia ini ialah untuk menjunjung perintah bagi menegakkan Kalimatillah seiring dengan kehendak Allah untuk menjadikan khalifah di atas muka bumi ini."..Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi..."Al-Baqarah : 30.

Setiap manusia pastilah akan di uji dengan pelbagai bentuk dalam setiap inci kehidupan mereka. Langsung tidak mengira ketika waktu senang dan gembira atau sebaliknya yang ada kalanya di cabar akan iman dan sabar dalam mengharungi ujian tersebut. Lahirnya manusia pada akhirnya adalah untuk menjunjung amanat Allah yang telah memberikan anugerah pendengaran, penglihatan dan hati yang menuntut agar yang memilikinya untuk menyemak serta menyaksikan kebesaran, kekuatan dan besarnya nikmat yang telah diberikan kepadanya.

Demikianlah, apabila manusia yang dijadikan sempurna inderanya, tentulah setiap diri ditugaskan untuk memikul amanah atau beban (taklif) dari Allah. Akhirnya kepada manusia ini hanya diberikan dua alternatif jalan kehidupan seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Insaan 76:3 seperti yang berikut.."Sesungguhnya Kami telah menunjukkan jalan yang lurus, ada yang bersyukur, ada pula yang kafir "


Bahasa Orang Merantau

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." Al-Hujurat : 13

"Bahasa menunjukkan bangsa", begitulah kata pepatah Malayu. Boleh dikatakan bahawa tabiat atau keperibadian seseorang itu dapat dilihat melalui penggunaan bahasa iaitu cara tutur kata yang diucapkannya. Betapa bahasa dapat menunjukkan kesopansantunan, menunjukkan asal usul dan peradaban yang tinggi kepada bangsa pemilik bahasa tersebut. Jika di sebut kewujudan sesuatu bangsa, kebiasaannya ia boleh di lihat dengan berdirinya sebuah pemerintahan atau negara. Dengan adanya negara, maka bangsa dan bahasa itu dapat terbentuk secara sempurna. Penulis sekadar ingin menyatakan bahawa hubungan antara ketiga-tiga istilah itu merupakan ikatan yang sangat kuat dan saling bergantungan. Terserah kepada kita bagaimana untuk menginterpretasikannya terhadap minat dan keupayaan masing-masing.

Bila bicara tentang bahasa, penulis sebenarnya cuba menggunakan bahasa penyampaian yang sederhana dalam arena laman blog ini. Agar semua dapat memahaminya, penulis menggunakan bahasa orang merantau iaitu bahasa yang mengikut arus percakapan berdasarkan kaum di atas tanah yang di pijaknya. Apa kata orang dulu-dulu, kalau masuk kandang kambing, mengembek..kalau masuk kadang harimau, mengaumm.. Jika ada yang membaca dan sukar untuk difahami, terlebih dahulu penulis memohon maaf kerana itu adalah kelemahan diri sendiri dan akan terus dipertingkatkan lagi dari hari ke hari. Terus terang juga bahawa bidang ini sebenarnya bagi penulis ibarat pucuk muda yang baru tumbuh dari tunasnya. Banyak lagi yang perlu dipelajari dan diperhalusi. Mudah-mudahan apa pun yang kita lakukan hari ini akan mendapat keredhaan dari Nya. Semoga ilmu yang dipelajari terus dikembangkan untuk bekalan generasi hari esok. Insyallah.

Transisi Ruang : dari Weebly ke Blogspot


Salam pada semua. Penulis telah membuat keputusan untuk berhijrah dari satu ruang ke ruang lain di alam siber ini. Seakan sama di alam realitinya, ia tidaklah semudah dengan hanya memetik jari. Pemikiran perlu di kerah dan jari jemari perlu bekerja. Pada yang pernah melayari, dulunya penulis bersesawang di http://seriakar.weebly.com (pejabat dah tutup daa) dan sekarang bersawah ruang di blogspot.com. Mengapa transisi ? Tidaklah panjang ceritanya... Jika ada yang pernah berdaftar untuk mengguna dan membina ruang di weebly, pasti maklum bahawa pemajunya tidak dapat menyediakan infrastruktur yang menyeluruh melainkan dengan membeli pakej handalan yang mereka tawarkan. Bagi yang bercita-cita untuk meng-upload bermacam-macam memori seperti imej, lagu, video dan sebagainya pastinya akan berasa kecewa di perjalanan kerana jumlah ruang stor simpanan data yang disediakan amatlah terhad. Kalau sekadar ingin bermain dan menyusun teks, tidak menjadi masalah. Pun bagaimana, sejambak terima kasih kepada weebly, kerana membenarkan penulis melontarkan idea ke permukaan skrin dan menterjemahkan sedikit pengalaman kepada tulisan. Di sini, bermulalah satu transisi untuk satu perkongsian ilmu dan kemahiran kepada generasi yang selanjutnya..