Sunnatullah

Telah menjadi satu ketetapan bahawa setiap sesuatu yang bermula itu pasti akan ada penghujungnya. Ternyata antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam dalam taqwimnya iaitu Ramadhan Al-Mubarak sudah menghampiri ke landasan akhir untuk tahun ini. Selama sebulan beribadah dengan bersahur, bersiyam (puasa), iftar dan bertarawih tentunya akan melahirkan rasa sayu dan rindu kepada mereka yang menjiwai sepenuhnya bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Tambahan lagi, setiap bulan suci pasti dibekalkan oleh Allah pada kaum Muslimin dengan ilmu kemenangan yang intinya adalah kesabaran untuk taat dan patuh kepada Allah dan Rasulnya secara keseluruhannya.

Berakhirnya Ramadhan bererti jiwa dan tubuh seorang muslim itu akan kembali kepada fitrah (asal) sepertimana keadaan diri sebelumnya. Tiada bekalan yang baik bagi mereka melainkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi untuk di bawa dan diterjemahkan ke ruang kehidupan sehinggalah ditemukan semula Ramadhan pada tahun berikutnya. Hikmah sebulan berpuasa tidak hanya semata-mata terkandung di bulan Ramadhan tetapi  bagi orang beriman "puasa"nya  akan tetap terus sehinggalah takbir kemenangan yang besar bakal berkumandang.

Di Sebalik Perang Badar : Episod Dua


Pasukan Kafir Quraisy Memulakan Serangan 


Pada hari itu.. di tempat yang bernama Badar, seorang pahlawan yang bernama Aswad bin Abdul Asad El-Machzamy cuba hendak menerobos pertahanan Islam dengan maksud hendak merebut salah satu kolam yang keseluruhannya telah dikuasai pihak Islam. Serangan secara tiba-tiba dari pihak kafir Quraisy pada pagi buta tersebut telah dapat diketahui oleh pengawal yang sangat waspada iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib (bapa saudara Rasulullah).

Di sebalik Perang Badar : Episod Satu

Ke Arah 17 Ramadhan 2H

Telah terjadi suatu pelanggaran prinsip dari kaum kafir Quraisy, iaitu perampasan hak kemerdekaan dalam beragama. Berdasarkan informasi tersebut Rasulullah SAW menginstruksikan inteligen untuk memantau di persekitaran Makkah. Ada di antaranya juga yang menuju ke Nakhlah iaitu pusat ekonomi yang menjadi tapak tumpuan hidup orang Makkah. Dalam pemantauan itu, telah berlaku satu pertempuran melawan orang-orang Quraisy. Hasilnya, seorang Quraisy telah terbunuh dan dua orang musuh dapat di tawan, lain-lainnya termasuk unta dibawa ke Madinah untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW. Manakala pada pihak Islam pula, dua orang Muslim (bukan dari pasukan inteligen) telah di tawan oleh pihak musuh.

Kejadian inilah yang merupakan alasan awal kepada tercetusnya Perang Badar di mana kaum kafir Quraisy masih terus menyimpan kebencian dan berdendam melihat perkembangan Islam yang semakin hari menunjukkan hasil yang menakjubkan, khususnya dalam pendakwahan umat. Kebencian kafir Quraisy ini diterjemahkan dalam segala bentuk perjalanan hidup di antaranya umat Islam di keji dan di hina, di bunuh, harta benda di rampas, dan yang paling keterlaluan adalah di rampas hak kemerdekaan beragama

Martabat Tujuh: kaedah membuat keputusan

Sukarnya membuat keputusan..Begitulah delimanya pemikiran seseorang bagi mencari jalan keluar dari setiap permasalahan yang dihadapinya.Tidak kira kecil atau besar masalah tersebut, membuat keputusan yang betul dan tepat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sama ada hasil keputusan itu baik atau sebaliknya, ia bukanlah tujuan tetapi bagaimana membuat keputusan itulah yang merunsingkan.Dalam sesetengah keadaan, setiap orang akan cuba untuk tidak membuat keputusan, menyimpan keringat fikir dan jiwa mereka daripada dikeluarkan.Seseorang yang tidak yakin untuk membuat keputusan akan cuba mengelakkan daripada memikirkan pelbagai cara supaya mereka ini tidak jelas kelihatan membuat perkara yang pelik sewaktu berhadapan dengan permasalahan.

Membuat keputusan boleh ditakrifkan sebagai tindakan memilih daripada pelbagai jalan alternatif.Sifat asalnya yang dinamakan membuat keputusan itu adalah terhasil daripada bebanan soalan-soalan yang diambil daripada berbagai-bagai aspek kehidupan, maka sewajarnya pendekatan yang tidak dapat di elak adalah memerlukan satu jawapan yang perlu untuk diputuskan.Secara sederhana, keberkesanan dalam membuat keputusan itu bukan saja tertumpu kepada proses berfikir seseorang tetapi ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ada padanya perlu dijanakan bersama dalam menilai proses tersebut.Sesuatu keputusan tidak terjadi tanpa sebab tertentu. Keputusan juga mempunyai kematangannya yang tersendiri-kematangannya berbeza-beza mengikut tahap permasalahan yang ditimbulkan..

Karya perang

                       

Mengenal kebudayaan Malayu

Kebudayaan pada dasarnya adalah cara hidup sesuatu kelompok manusia, tetapi apabila ianya di lihat daripada perspektif tertentu (politik, misalnya) dan diberikan erti yang tertentu pula (untuk memberi identiti pelbagai kelompok) maka ia menjadi persoalan yang boleh meruncingkan terhadap kehidupan manusia.Kebudayaan seringkali dijadikan simbol untuk menggembelingkan tenaga bagi menegakkan sesuatu fahaman atau pergerakan.Generasi kini barangkali masih belum dapat memahami dengan jelas apa yang dikatakan kebudayaan kerana ianya bukan hanya berkisar tentang tarian dan nyanyian, tidak juga tentang pakaian dan hiasan. Ia merangkumi semua aspek kehidupan iaitu bahasa, bangsa dan negara. Mengenal dan menghayati kebudayaan kita bererti mengenal dan mencintai diri, bangsa dan negara itu sendiri.

Malayu itu penuh dengan kebudayaannya.Dalam mempertahankan kebudayaannya, Malayu itu sudah diikat kuat dengan Islamnya.Malayu dan Islam sebagai agamanya tidak berpisah dan tidak dapat dipisahkan. Ertinya, orang Malayu yang menukar kepercayaannya (Islam) akan tercabut dari akar bangsanya (Malayu).Teori Malayu dari sudut pandang Anthropology Barat atau Bahasa Sangskrit, Hindu merupakan kekeliruan yang berakibat fatal serta jauh dari kebenaran. Maka berdasarkan fakta “Malayu tidak dapat dipisahkan dari Islam kita fahami akan makna Malayu." 

Yang di namakan Ramadhan dan Rezeki

Maha Suci Allah, zat yang telah mewajibkan hamba-hamba Nya untuk menunaikan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Suatu perintah yang menjadi kunci dan kurnia bagi menyucikan kekuatan zahir dan batin, membimbing jiwa, mententeraman hati dan   mempersembahan diri yang tulus kepada Allah keseluruhannya.Hanya kepada Nya lah kita senantiasa mengharapkan sebesar-besar dan sebanyak-banyaknya maghfirah di atas kesalahan dan kemungkaran yang telah diperbuat sebelum ini, sama ada kecil atau besar, baik dengan sedar mahupun dengan tidak sengaja.

Dari sudut etimologi, Ramadhan di ambil dari asal kata ra’-mim-dha’ yang bererti ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan atau lainnya.Secara sederhana ada alim ulamak menyebutnya langsung sebagai "panas" kerana datangnya bulan ini dari panasnya sinaran cahaya matahari. Maka tidak hairanlah jika Ramadhan seringkali datang di awal waktu kemuncaknya musim panas.Malah ada pula yang berpendapat "panas" itu bererti kepanasan diri orang yang berpuasa dalam menahan nafsunya daripada marah, lapar dan dahaga serta mendengar,melihat dan bercakap tentang perkara yang sia-sia.

Dunia Islam ku..


Sekiranya aku tak masuk ke dalammu
Sampai kini tak akan ku tahu
Betapa manisnya sebuah perjanjian
Betapa indahnya sebuah perjuangan

Sekiranya aku tak berjalan bersamamu
Pengalamanku tak akan menjadi dewasa
Untuk menilai apa erti keredhaan
Untuk memaknakan apa erti pengorbanan

Sekiranya aku tak berilmu denganmu
Nescaya aku tak akan mengerti
Betapa halusnya sunnah dan Furqan
Betapa murninya tali persaudaraan



11.00am 6 Ramadhan 1433

Antara dua bahasa zaman

Bunga kasih kita
Kita subur wangikan
Dengan baja kesetiaan
Disirami air ketulusan
Penuh ketertiban

Bunga kasih kita
Adalah milik bersama
Yang akan ditaburkan
Di laman kehidupan
Dari kita yang mengerti

Bunga kasih kita
Menyubur dan mewangi
Menerangi kesuraman maya
Menjelmakan warna keindahan
Di persada pasti


Begitulah puisi menyatakan apa yang tersemat di dalam jiwa. Sedaya upaya bahasa di susun indah untuk didedikasikan kepada yang teristimewa. Sebagai bukti, puji dan janji bahawa dialah insan yang sedang bertakhta di hati. Ternyata inilah salah satu wadah bagaimana hubungan diwarnakan bagi pasangan yang sedang di lamun cinta. Seringkali wadah ini dilampirkan dalam sepucuk surat kepada pasangan yang berjauhan kerana dilanda ombak kerinduan. Bagi orang yang merantau jauh, tiada apa yang mampu diungkapkan kepada yang tersayang melainkan puisi sebagai saksi. Dapat di lihat betapa kreatifnya orang terdahulu menterjemahkan perasaan sayang dan rindu, bahasanya penuh tersirat (berjiwa seni) tetapi diam dan malu untuk bersuara apatalagi ingin bersua muka (menjaga kemuliaan diri).

Perempuan dalam Islam : satu pengenalan..


Sejak kebelakangan ini penulis cuba menghayati tugas para wanita yang bergelar isteri muslimah di rumah. Dalam erti kata lain, menjiwai tanggungjawab dan amanah yang diberikan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti harian yang sering dilakukan seorang suri rumah merangkap ibu bagi anak-anaknya. Mungkin ini kerananya ruang dan masa terbaik yang diberikan Allah kepada penulis sebelum datang nanti tugas-tugas pengajian dan saat-saat seperti ini barangkali sukar untuk diulangi lagi. Bukan hanya memasak, mengemas rumah, menjaga dan menyiapkan keperluan anak dan sebagainya, penulis cuba menyelami isi hati para isteri dan ibu ini dan terbuktilah ia sememangnya menuntut satu pengorbanan yang tinggi yang lahir dari dalam diri. Apatalagi jika pergerakan hanya terbatas pada ruang (rumah) dan masa (harian) yang sama setiap hari, adakalanya penulis menarik nafas panjang…begitu kental jiwa dan kesabaran yang dimiliki mereka, dan Allah SWT berlaku sangat adil dan maha bijaksana memberikan kemampuan seumpama itu khas bagi kaum wanita. Jika sebelumnya tugasan di buat bersama-sama isteri, cabarannya kali ini mampukah suami yang buat semuanya sendirian, bagaimana?


Bagi oposisi lelaki pula, hakikatnya tidaklah dianggap pelik bila mana suami membantu tugas-tugas harian isteri di rumah. Lihatlah contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW, baginda bukan sahaja menjadi khalifah, imam dan pemimpin negara, malah ciri-ciri kepemimpinan itu sudah ada dan di praktikkan dalam sekecil-kecil ruang iaitu di rumah. Oleh yang demikian, bagi seorang yang bernama lelaki itu, wajib ada pada dirinya ketiga-tiga ciri-ciri seperti yang ditunjukkan Muhammad Rasullullahitu supaya ia dapat dijadikan suri tauladan bukan sahaja di tempat mencari rezeki tetapi yang paling penting adalah bagaimana menangani permasalahan keluarga di rumah! Pernyataannya mudah, seandainya seseorang itu tidak dapat mentadbir atau memimpin rumah dan seisinya dengan baik dan bijaksana, tentulah pasti beliau tidak mampu menjalankan tanggungjawab dalam mentadbir atau menjadi kepala sesuatu organisasi atau komuniti dengan sempurna.

Kisah Umar Al-Khattab Masuk Islam


Umar bin Khatab salah seorang dari pembesar kaum Quraisy yang sangat berwibawa, berdisiplin,keras jiwanya, berkemahuan yang tegas serta ditakuti lawan mahu pun kawan. Selama enam tahun dari kenabian Muhammad SAW, Umar bin Khatab adalah musuh Islam yang sangat kejam. Ketika di lihat sewaktu pergolakan antara kaum Quraisy dengan kaum Muslimin yang tiada reda-redanya, semakin lebar dan bertambah benci dendam pihak Quraisy terhadap pertambahan orang-orang yang masuk Islam. Kondisi yang sedemikian telah membuatkan Umar terfikir untuk menghentikan perselisihan itu dengan cara “menghabiskan jiwa Muhammad” itu sendiri. 

Dengan pedang tersisip di pinggangnya pergilah dia dengan penuh bersemangat mencari Nabi Muhammad yang saat itu berkumpul di rumah Arqam bersama para sahabat. Di tengah perjalanan Umar bertemu dengan Nu'aim bin Abdillah dan bertanya kepada Umar, “ mahu ke mana engkau ya Umar?” 

Langsung dijawab dengan tegas, “Mahu membunuh Muhammad.” 

Dunia ini aneh

" Bermula Islam itu gharib (asing, aneh) dan akan kembali gharib. 
Berbahagialah orang-orang yang ghuraba "
[ H.R Muslim ]

Datang Syaaban, perginya Radjab

wala-haula wala-quwwatta illa billahi-'alijil'adzim.


Begitu masa pantas bergerak. Melangkah laju menuju ke arah masa hadapan, meninggalkan apa yang boleh dijadikan sejarah. Sedang manusia berdiri, berjalan dan berlari di dalamnya tetapi kebanyakkan dari mereka lupa atau tidak sedar bahawa masa telah beredar mendahului mereka. Lupa kerana kesibukkan kerja dan keasyikkan melihat kemodenan dunia, mungkin. Atau tidak sedar kerana disibukkan mencari apa yang dinamakan keredhaan dari Tuhan. Bagi mereka yang peka pada perjalanan taqwim Hijriah, kita telah masuk ke bulan Syaaban dan ini bererti Radjab telah meninggalkan kita. Selamat mengharungi Syaaban, selamat berlalu Radjab yang indah.


Namun sejarah jangan sekali kita lupakan. Walaupun ruangnya baru sahaja berlalu pergi, banyak ibroh atau pengajaran yang boleh kita dapati jika kita benar-benar peka dan sedar apa yang telah di atur dan di bimbing Allah untuk kita. Kerana itu, bagi orang Islam yang sejati hati dan jiwanya melihat setiap isi perjalanan dalam bulan Islam itu merupakan petunjuk dan bukti yang nyata dari Rabb nya. Tidak berat jika dikatakan makna yang molek bagi merujuk kepada istilah Taqwa itu adalah Program. Secara sederhana, "program" adalah merujuk kepada pengisian, perancangan dan perbuatan yang di susun dengan tertib dan teliti pada hari ini bagi persediaan hari esok dan seterusnya. Bererti juga, program yang di rencana adalah  untuk manfaat diri, keluarga dan ummat keseluruhannya sehingga apa yang di rancang dan di perbuat niatnya tekad adalah semata-mata menuju ke redhaan di sisi Allah SWT. Insyallah. 

Ada apa pada masa ?

Pelajar : Maaf encik, saya tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan.. 

Pensyarah : Saya maafkan jika kamu memberikan alasan yang jujur dan benar 

Pelajar : Err..sebenarnya saya tak cukup masa. Jadual harian saya sangat ketat dan padat. 

Pensyarah : Apa masa kamu ada 12 jam sahaja ker? Cuba ceritakan apa aktiviti yang selalu kamu buat..saya sangat nak tahu ke mana dan banyak mana masa yang selalu kamu gunakan.. 

Pelajar : Err..mula bangun pukul lapan pagi (alamak solat subuh..), mandi setengah jam, siap-siap nak ke kuliah empat puluh minit…err..minum pagi..err…(malas buat sebenarnya..) 

Pengalaman sememangnya tidak pernah menipu. Boleh jadi ramai yang pernah mengalami situasi yang sama seperti di atas. Alasan tidak cukup masa atau tidak pandai mengurus masa bukan sekadar popular di kalangan pelajar saja malahan orang yang bekerja atau yang di beri tanggungjawab juga sering menggunakan jurus sebab yang sama bagi mempertahankan diri mereka daripada dimarahi majikan atau ketua.Soalnya,apakah benar kita ini sering tidak cukup masa? Adakah begitu sukar untuk mengurusnya? yang melalui pasti tahu jawapannya.. 




Seni bina kerana Tuhan

Malam ini di langit tidak ada satu pun kelihatan bintang. Gelap dan sunyi, hanya bunyi cengkerik yang bernyanyi zikir dalam alunan merdu bahasanya. Di tambah dengan suhu yang dingin, keadaan sebegini sememangnya dapat memberikan ketenangan jiwa dan kelapangan fikiran kepada orang yang sedang menikmatinya. Entah berapa lama lagikah agaknya masih ada ruang yang sebegini ? Sedang keributan manusia mengejar harta dan kemajuan,sungguh dan telah banyak kehidupan alam ini di korbankan..Hari ini berbanding sepuluh tahun lalu banyak benar perbezaannya. Tidak kiralah apa ruang dan bentuk, sejujurnya tidak dapat di tolak bahawa bumi ini sudah hampir sampai ke penghujung usianya. Samalah juga apa yang terjadi pada biji,isi dan kulit bumi itu sendiri, semuanya telah ada ketetapan (nyawa) yang telah di tentukan waktunya.. (al-imran,3:145). Bagi penulis, “nyawa” itu bukan sekadar kepada apa yang dinamakan hidup, malah sesuatu yang bersifat benda (bukan makhluk) juga punya nyawa atau jangka hidup yang tersendiri. Misalnya yang dikatakan nyawa bukan bernyawa itu adalah sebuah rumah.Dari segi pemahamannya, sesebuah rumah (bangunan tempat tinggal) itu sememangnya tidak bernyawa (tidak hidup), namun ia tetap punya jangka hayatnya.Hidup (bernyawa) sesebuah rumah itu kerana ada penghuninya dan bila sudah sampai waktu, sebesar mana atau cantiknya rumah itu akhirnya pasti akan jadi usang dan runtuh.Bezanya adalah waktu, sama ada lama atau cepat dalam sesuatu ruang dan keadaan bagaimana ia mempertahankan usianya. 


Apakah yang menyebabkan sesebuah bangunan itu bertahan lama? Anehnya ada bangunan yang mampu bertahan sehingga mencapai ratusan tahun malahan ada juga yang ribuan tahun. Ada di antaranya dapat di saksikan orang hingga ke hari kini. Sebenarnya penulis telah membawa persoalan ini sejak beberapa tahun yang lalu terutamanya di medan kuliah suatu masa dahulu.Perbincangan ini di lihat menarik dan penulis begitu mahu untuk memanjangkan keilmuan tersebut di ruangan blog ini. Ayuh kita teroka ! 

Ayuh bangkitlah penulis muda

Pada waktu ini sedang berlangsung Pesta Buku Antarbangsa Kuala Lumpur 2012 (fb) bertempat di PWTC. Jika sesiapa yang masih belum berkesempatan untuk pergi, diingatkan hari ini 6 Mei 2012 adalah hari akhir pesta ini diadakan. Kali ini temanya agak menarik iaitu Buku : Dunia Tanpa Sempadan. Komentar penulis, temanya agak kena dengan tahun 2012 ini kerana kebelakangan ini perbincangan tentang isu-isu semasa yang menyentuh jiwa seluruh warga dunia sememangnya dapat di rasa bersama. Dari sekecil-kecil masalah seperti kekurangan ikan bilis hinggalah isu besar tentang satelit yang dah nak runtuh semakin menjadi keutamaan kepada semua orang untuk tahu, apatalagi ia melibatkan kehidupan yang dekat dengan manusia seperti pemanasan global dan hati, kebuluran jiwa dan akhlak, jualan runtuh pendidikan, politik yang menggila, peperangan ekonomi dan bermacam-macam lagi..Makanya, sempadan dalam dunia sebetulnya sudah terbuka tetapi realitinya masih ada hantu yang boleh jelma dan kerjayanya masih wujud itu menggaris sempadan! Mungkin kerana itulah gamaknya perlu ada bacaan buku-buku yang mengupas kulit dan isi-isi isu yang tak berkesudahan ini.Jadi, kalau nak cari buku-buku yang macam itu kenalah dahulu masuk tapak pesta, namanya " Pesta Buku ".

Masih cerita buku. Beberapa hari lepas ada keluar satu isu berkenaan "penulis buku" di berita televisyen petang. Seingat penulis, ia berkisar tentang liputan forum yang diadakan di tapak pesta dan topik yang dibincangkan sesuai pada tempatnya. Ia berkenaan Kekurangan Penulis Muda di Malaysia..(kurang lebih tajuknya begitulah).Tapi melihat orang ditemuramah (panel forum) begitu serius sekali dia memperkatakan isu ini. Penulis tidak pasti sejauh mana ketandusannya penulis muda pada hari ini kerana penulis juga masih baru di alam penulisan ini. Namun, perkara ini masih boleh di ukur dengan melihat jumlah pengeluaran buku yang terdapat di pasaran setiap tahun. Secara peribadi, pemerhatian penulis selama beberapa tahun ini kebanyakkan hasil penulisan yang terhidang di toko-toko buku adalah berbentuk novel,catatan peribadi,tokoh dan pelbagai lagi tetapi keseluruhannya masih sedikit.Ini belum lagi jika di sentuh buku-buku umum, ilmiah atau akademik yang di tulis oleh penulis muda sememangnya sukar untuk ditemui apatalagi ianya di tulis dalam bahasa ibunda (Melayu).

Melihat tujuan hidup secara keseluruhan

Setiap hari manusia bangun (hidup) dari tidur yang lena setelah dimatikan untuk seketika pada malamnya. Rutin kehidupan manusia pula setelah bangun dari tidur, hampir ke semuanya bergegas untuk menyelesaikan perkara yang tertangguh, mengikuti jadual belajar atau kerja yang telah diaturkan, mencari rezeki untuk menampung kehidupan dan mengharungi pelbagai tugasan dan aktiviti yang berbeza setiap hari. Di dalam lautan kehidupan manusia itu sama ada yang sedang berdiri, bergerak dan berlari ternyata kita juga berada di situ bersama-sama mereka yang sedang mencari kepastian hidup.

Waktu semalam (kanak-kanak) kita seronok bermain dan berlari, hari ini (remaja) kita sibuk mengikuti kuliah di universiti dan esok (dewasa) kita kepenatan bekerja mencari rezeki. Begitulah cepatnya perjalanan waktu. Tanpa disedari usia semakin senja dan bagi yang membina keluarga, perhatikanlah anak-anak kecil yang ke sekolah sedang mereka baru bermula dan akan mengulangi pusingan bulatan hidup yang sama. Prinsipnya mudah, kerana dari dahulu hanya orang yang  bersilih ganti tetapi kehidupan mereka tetap tidak pernah berubah kerana hidupnya tadi adalah masih di tanah (ruang) dan sistem (aturan) yang sama. 

Apa yang hampir pasti, manusia semakin sudah tidak mahu ambil peduli lagi tentang tujuan penciptaan di dunia ini. Jika direnungkan bahawa akhir usianya manusia kebanyakkannya bagai tiada ertinya dan kembalinya jasad ke tanah seakan-akan pergi begitu sahaja. Jika sekarang di tanya, apakah tujuan hidup anda di atas muka bumi ini ? Adakah untuk sekadar mengisi ruang dan waktu untuk kejayaan menggengam ijazah atau mengejar gelaran, harta dan juga pangkat ? Pengalaman penulis apabila bertanyakan soalan sedemikian kepada sebilangan  pelajar Islam, kebanyakan mereka tidak dapat menjawab dan lebih berdiam diri kerana belum ada jawapan dalam diri mereka. Namun masih ada yang yakin menjawab iaitu tujuan hidup ini adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi. Alhamdullillah.

“ Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.” (Al-Anbiya, 21:16)

Pastilah tidak pernah sia-sia kejadian manusia oleh Allah SWT di atas dunia ini. Apatalagi jika seekor semut hitam yang bergerak di atas batu hitam pada malam yang gelap, pasti ada sebab dan manfaat  kenapa ia diciptakan Allah. Kita ambil bukti yang sederhana, dari jutaan sperma ayah yang telah di lepaskan dan berkejaran ke ovum ibu hanya “satu” yang terpilih dan berjaya menembusinya. “Satu”  itu yang di pilih Allah SWT kerana sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Nya, “satu”  yang sanggup memikul amanah, “satu”  yang sedia untuk di uji dengan perintah dan larangan dan “satu”  itulah adalah kita yang wujud dan diberikan rezeki pada hari ini,

Mengenali diri dan kemampuan sendiri



Perkembangan ilmu pengetahuan yang semakin kompleks pada hari ini sememangnya telah banyak mempengaruhi perkembangan kehidupan manusia dan tingkah laku manusia (human behavior) turut sama berubah.Buktinya, hampir setiap hari kita dapat mendengar dan melihat pelbagai ragam atau karenah manusia dalam meniti perjalanan kehidupan mereka sehinggalah datang ajal waktu yang telah ditetapkan bagi mengakhiri suka duka yang sementara itu. Begitu waktu pantas bergerak namun begitulah juga kehidupan manusia yang kebanyakkannya seolah-olah terlupa asal tujuan mereka diberikan nyawa mengendong amanah yang amat berat.


Sewaktu penulis menggalas tugas menjadi penyampai di sebuah institusi pengajian tinggi dahulu, suka penulis lontarkan soalan kepada anak didik yang  mereka kata sebagai soalan kontroversi.Soalannya,apakah tujuan kalian hidup di atas muka bumi ini ? Ada yang yakin menjawab tetapi ada juga yang masih tidak pasti dengan soalan. Selalunya soalan tersebut ada "pasangannya", iaitu siapakah diri kalian yang sebenarnya sehingga diberi peluang untuk hidup di bumi ini ? Barangkali jika sudah jelas dan tahu  jawapan pada persoalan tersebut boleh jadi tidaklah begitu sukar untuk menjalani kehidupan yang ditakdirkan ini.Formulanya mudah, jika kita tahu siapa diri kita pastilah kita tahu kenapa kita kena hidup di atas dunia ini..Sudah pasti, sesuatu yang dijadikan Allah atas muka bumi ini adalah bersebab belaka dan bukanlah sebagai barangan mainan. Setiap kita tentu ada jawapan masing-masing. Tidak ada yang salah atau betul yang tidak semestinya tepat. Bagi pelajar islam yang sedang mencari, penulis ada menulis dan membuat sedikit penjelasan berdasarkan bacaan dan kajian. Mudah-mudahan ilmu mengenal diri ini akan dapat terus dikembangkan bagi memahami sebentuk makhluk yang bernama manusia.

Ilmuku amatlah sedikit..

Assalammualaikum..
Banyak perkara yang bermain di fikiran penulis ketika ini.Lama meninggalkan ruang penulisan di dalam blog ini agaknya, jadi nak memulakan ayat mungkin sedikit janggal.Alasannya apa ? Cukuplah jika dikatakan waktu dan ruang yang belum mengizinkan. Ada perkara lain yang perlu didahulukan,jadi apa perkara pun jika sudah langsai dan hati telah tenang barulah sedap untuk menulis. Barangkali ada yang pernah mengikuti blog penulis yang tidak seberapa sebelum ini. Secara sederhana, penulis telah membuat sedikit perubahan dan penambahbaikkan. Niatnya jelas ingin membina sebuah blog yang ringkas, mudah dan paling utama ilmu dapat disampaikan. Iya, penulis bukanlah pakar yang dapat membahaskan pelbagai keilmuan. Namun jauh di sudut hati, penulis sekadar berusaha untuk memperkayakan pengetahuan dan memperkasakan bahasa dalam praktik bidang yang berlainan dengan menggunakan alas penulisan di blog ini. 


" Katakanlah: "Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (Surah Al-Kahfi:109)

Pelajar, luruskanlah niatmu..


" Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan nilai segala perbuatan kebaikan maupun keburukan. Maka barangsiapa berniat melaksanakan suatu kebaikan lalu tidak melaksanakannya, niscaya Allah SWT akan mencatat pahalanya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan sempurna. Dan bila seseorang berniat melakukan sesuatu kebaikan lalu ia melaksanakannya, niscaya Allah SWT akan mencatat pahalanya di sisi-Nya sebagai perbuatan sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus, bahkan berlipat-lipat ganda banyaknya. Dan bila seseorang berniat melakukan suatu kejahatan lalu ia tidak melaksanakannya, Allah SWT. akan mencatat pahalanya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan-sempurna, dan bila bemiat melakukan suatu kejahatan kemudian ia melaksanakannya pula, maka Allah akan mencatatnya di sisi-Nya sebagai satu kejahatan." (Hadits)


Secara lumrahnya boleh dikatakan apa pun perbuatan yang dilakukan manusia melainkan tersemat di dalamnya suatu unsur yang mendorong dirinya untuk melakukan perbuatan tersebut. Dorongan yang tersemat di dalam hati inilah, yang boleh dikatakan pasti ada dalam setiap perbuatan manusia, dimaknakan ia sebagai niat. Jadi, niat secara sederhana merupakan faktor utama yang mendorong serta meransang seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan dan faktor pendorong ini juga akan tetap ada walaupun seseorang itu tidak melafazkannya. Dalam konteks ini, manusia dalam setiap apa pun amalan atau perbuatan yang ingin dilakukan mestilah dimulai dengan niat  iaitu merupakan paksi yang mendasari setiap perkara yang dilakukan dan hasilnya pula mestilah sama seperti apa yang diniatkan.


"Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya, dan bagi setiap orang ganjaran sesuai dengan niat yang menyertai perbuatannya itu. " (Hadits Nabi)