wala-haula wala-quwwatta illa billahi-'alijil'adzim.


Begitu masa pantas bergerak. Melangkah laju menuju ke arah masa hadapan, meninggalkan apa yang boleh dijadikan sejarah. Sedang manusia berdiri, berjalan dan berlari di dalamnya tetapi kebanyakkan dari mereka lupa atau tidak sedar bahawa masa telah beredar mendahului mereka. Lupa kerana kesibukkan kerja dan keasyikkan melihat kemodenan dunia, mungkin. Atau tidak sedar kerana disibukkan mencari apa yang dinamakan keredhaan dari Tuhan. Bagi mereka yang peka pada perjalanan taqwim Hijriah, kita telah masuk ke bulan Syaaban dan ini bererti Radjab telah meninggalkan kita. Selamat mengharungi Syaaban, selamat berlalu Radjab yang indah.


Namun sejarah jangan sekali kita lupakan. Walaupun ruangnya baru sahaja berlalu pergi, banyak ibroh atau pengajaran yang boleh kita dapati jika kita benar-benar peka dan sedar apa yang telah di atur dan di bimbing Allah untuk kita. Kerana itu, bagi orang Islam yang sejati hati dan jiwanya melihat setiap isi perjalanan dalam bulan Islam itu merupakan petunjuk dan bukti yang nyata dari Rabb nya. Tidak berat jika dikatakan makna yang molek bagi merujuk kepada istilah Taqwa itu adalah Program. Secara sederhana, "program" adalah merujuk kepada pengisian, perancangan dan perbuatan yang di susun dengan tertib dan teliti pada hari ini bagi persediaan hari esok dan seterusnya. Bererti juga, program yang di rencana adalah  untuk manfaat diri, keluarga dan ummat keseluruhannya sehingga apa yang di rancang dan di perbuat niatnya tekad adalah semata-mata menuju ke redhaan di sisi Allah SWT. Insyallah. 



" Sesungguhnya kalau mereka beriman dan bertaqwa, (niscaya mereka akan mendapat pahala), dan sesungguhnya pahala dari sisi Allah adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui." (al-Baqarah, 2: 103)


Maka, dari perbuatan Taqwa tadilah maka timbulnya tapak atau ruang yang perlu di isi program-program yang telah di atur dan di susun yang selalu di guna iaitu Taqwim atau kalendar bagi penentuan tarikh dan harinya. Seperti pasangan gula dengan manisnya,  isi dengan kulitnya dan sebab dengan akibatnya, begitulah taqwa dengan taqwimnya. Bagi seorang yang bertaqwa tiada istilah dalam dirinya membuang masa dan ruang kepada perkara yang tidak berfaedah kerana sepanjang hari dalam taqwim hidupnya telah di atur dengan perkara atau program yang baik dan bermanfaat. Menurut penulis, dua hal ini tidak dapat dipisah-pisahkan antara satu dengan lainnya. Mudah-mudahan kita semua tidak lagi disibukkan dengan perkara yang sia-sia dan terus berusaha mencari kurniaan-Nya.


Peristiwa dalam kandungan Radjab  


Bagi seorang Muslim sejati, bulan Radjab sememangnya memiliki dimensi sejarah dan pengajaran yang banyak . Adanya perubahan dalam proses dan perjalanan hidup dan kehidupan yang mengarah maju dengan sejalan perkembangan diri seorang manusia itu. Jika  di teliti dan di hayati Radjab dalam lipatan sejarahnya orang mukmin semenjak dari zaman dahulu lagi merupakan bulan yang isinya terdapat ujian (kecil @ besar) sebagai rasa kasih sayang Rabb kepada hamba-hambaNya. Turunnya ujian seperti satu pakej yang dirasai bersama-sama dan di dalam nya terkandung nikmat dan barakah sebagai bekalan harta dan  jiwa untuk menghadapi bulan-bulan yang berikutnya.Wallahualam. Makanya pelajaran, peringatan dan tauladan inilah yang diertikan sebagai Ibroh kepada orang Mukmin untuk dijadikan cermin dalam menjalani kehidupannya.


Terkandung dalan bulan Radjab ini juga adalah satu peristiwa dan pengajaran yang sangat penting bagi umat Islam iaitu perjalanan suci Isra dan Mi'radj Rasullullah saw yang telah diperkenan oleh Allah SWT pada sebahagian malam untuk memperlihatkan kepadanya akan zat-zat dan tanda-tanda kekuasaan Nya. Begitulah banyak hikmah dan pengajaran dari perjalanan suci tersebut yang menjadi satu kenyataan batin dan persaksian rohani, yang menjadi pangkal dan sumber dari segala kekuatan zahir dan batin, kesucian roh dan kebesaran jiwa, ketenteraman hati dan kesempurnaan amal soleh bagi menterjemahkan penghambaan diri manusia hanya kepada Allah keseluruhannya belaka.


Lebih jauh ternyatalah sudah, bahawa peristiwa penting itu berlaku di dalam masa tahun-tahun dukacita, di kala turun berbagai cubaan dan ujian, dalam pelbagai rupa dan bentuk kepada Rasullullah khususnya dan keseluruhan para mukmin umumnya. Keadaan dan kejadian sebelum Isra dan Mi'radj itu dengan tepat dapat digambarkan di dalam Firman Allah iaitu : 


" Pastilah Kami (Allah) akan mencuba kamu dengan segala sesuatu (dengan segala macam cubaan), dengan ketakutan, dengan kelaparan, kekurangan harta benda, dengan kekurangan (atau kehilangan) kawan-kawan (seperjuangan), dengan kekurangan buah-buahan, maka Kami akan menurunkan busjro (berita baik, berita gembira, atas) orang-orang yang sabar (menderita, kuat, tahan dalam perjuangan hidupnya)" 
(al-Baqarah, 2 : 155)


Bersandarkan sejarah dalam taqwim Islam, peristiwa suci itu  terjadi pada malam tanggal 27 bulan Radjab tahun ke 12 kenabian Rasullullah saw atau kurang lebih lapan bulan sebelum Hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah pada tahun 1 Hijriah atau pertengahan tahun 622 masihi. Oleh sebab itu, maka sesetengah ulama mufassirin dan sebahagian daripada hukum berpendapat, bahawa kedua-dua peristiwa penting itu yakni Isra dan Mi'radj dan Hidjrah adalah dua hal yang berkait rapat antara satu sama lainnya seperti isi dengan kulitnya atau batin dengan zahirnya.


Secara sederhana, peristiwa itu membuktikan bahawa Islam itu mempunyai sifat yang hidup, mempelajari bahawa manusia yang hidup (rohani dan jasmani) perlu memeluk agama yang hidup (Islam) dalam jiwanya dan bukan cara hidup yang beku kaku, barulah dapat menjadi Muslim yang hidup. Insyallah. Janganlah menjadi muslim kerana adat, muslim kerana keturunan atau muslim yang tidak sedar, tidak tahu dan tidak mengenal isi agamanya seperti mengenal gula yang tak kenal manisnya dan kenal garam yang tak tahu masinnya. Begitulah ibaratnya, kata-kata " hidup " di sini dimaknakan sebagai hidup ruhnya, jiwanya, akal fikirannya, faham pengetahuannya, jasad dan sebagainya.


Alhamdullillah, segala sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Pengalaman-pengalaman dan penderitaan yang dilalui oleh orang terdahulu dapatlah kita jadikan sebagai Ibroh dan semangat dalam melaksanakan segala perintah Ilahi iaitu amal dan usaha bersungguh-sungguh walaupun di cuba dan di uji dalam keadaan apa pun juga. Berbalik kepada niatnya artikel ini, penulis cuba merangkumkan bahawa bulan Radjab ini sememangnya begitu istimewa kepada sesiapa yang menghayatinya. Termasuklah kepada diri penulis sendiri, keluarga dan kenalan yang rapat ternyata berlalunya bulan ini memberikan impak yang besar dalam mempelajari erti kesabaran dan ketenangan. Pelbagai peristiwa pahit dan manis yang di lalui dan akhirnya dapat dirasakan sedikit atas kesabaran dengan pemberian kurniaan dari Nya iaitu berita gembira yang tidak pernah dijangka oleh penulis. Terima kasih pada Allah SWT kerana membuka satu lagi pintu ke ruang yang lebih besar. Wallualam.







Berikan Komen