Sukarnya membuat keputusan..Begitulah delimanya pemikiran seseorang bagi mencari jalan keluar dari setiap permasalahan yang dihadapinya.Tidak kira kecil atau besar masalah tersebut, membuat keputusan yang betul dan tepat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sama ada hasil keputusan itu baik atau sebaliknya, ia bukanlah tujuan tetapi bagaimana membuat keputusan itulah yang merunsingkan.Dalam sesetengah keadaan, setiap orang akan cuba untuk tidak membuat keputusan, menyimpan keringat fikir dan jiwa mereka daripada dikeluarkan.Seseorang yang tidak yakin untuk membuat keputusan akan cuba mengelakkan daripada memikirkan pelbagai cara supaya mereka ini tidak jelas kelihatan membuat perkara yang pelik sewaktu berhadapan dengan permasalahan.

Membuat keputusan boleh ditakrifkan sebagai tindakan memilih daripada pelbagai jalan alternatif.Sifat asalnya yang dinamakan membuat keputusan itu adalah terhasil daripada bebanan soalan-soalan yang diambil daripada berbagai-bagai aspek kehidupan, maka sewajarnya pendekatan yang tidak dapat di elak adalah memerlukan satu jawapan yang perlu untuk diputuskan.Secara sederhana, keberkesanan dalam membuat keputusan itu bukan saja tertumpu kepada proses berfikir seseorang tetapi ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ada padanya perlu dijanakan bersama dalam menilai proses tersebut.Sesuatu keputusan tidak terjadi tanpa sebab tertentu. Keputusan juga mempunyai kematangannya yang tersendiri-kematangannya berbeza-beza mengikut tahap permasalahan yang ditimbulkan..



Setiap hari manusia membuat keputusan.Sekecil-kecil contoh, apabila bangun tidur di awal pagi, seorang pelajar sudah perlu memutuskan sama ada hendak solat subuh berjemaah di masjid atau di rumah dan sama ada menyambung tidur selepas solat atau terus mandi dan bersiap untuk ke kuliah. Keputusan perlu diteruskan lagi untuk memilih sama ada untuk tidak masuk ke kuliah atau menuju terus ke perpustakaan. Begitulah seterusnya..dalam lapangan kehidupan manusia yang bermacam-macam ragamnya. Ada yang sedang berkonflik untuk membuat keputusan dalam memilih beberapa tawaran belajar atau kerja, yang perlu memutuskan kesediaan untuk berumahtangga, membuat keputusan untuk membeli jenis kereta, memerlukan satu keputusan untuk menjatuhkan hukuman di mahkamah, dan banyak lagi..Sebesar-besar perkara untuk membuat keputusan adalah terletak di bahu seorang penguasa atau pemimpin sesebuah wilayah atau negara yang setiap hasil keputusannya bakal menentukan jatuh bangunnya amanah pemerintahan manusia, aturan dan tapak yang sedang dipikulnya.

Barangkali terdapat banyak kaedah yang dikeluarkan oleh orang pakar bidang dalam membantu masyarakat untuk membuat keputusan. Sama ada berkesan atau sebaliknya, usaha-usaha yang dijalankan mungkin sedikit sebanyak dapat membantu mengeluarkan diri daripada ruang lingkup permasalahan tersebut. Namun, sebesar mana pun usaha yang dilakukan pasti tidak akan terlaksana tanpa seizin dari Allah SWT iaitu berbaliknya para makhluk dalam menyerahkan segala urusan dan keputusan ke hadrat Nya. Bahasa yang sering digunakan seorang Muslim setelah berjaya memutuskan satu keputusan adalah dengan menyebut "Tawakallah". Di ambil daripada perkataan "wakil" iaitu mewakilkan atau menyerahkan Allah dalam setiap inci urusan yang mana manusia tidak lagi mampu menangani atau di luar kemampuan dirinya sendiri. Maka, adalah baik seandainya setiap perkara yang menjurus kepada membuat keputusan itu digunakan juga kaedah yang dekat kepada Islam dalam mengatur cara hidup manusia secara keseluruhannya.

Sebagai usaha untuk dimudahkan dalam solusi membuat keputusan, alim ulama' terdahulu telah mengkaji dan menggariskan satu alternatif (perspektif Islam) iaitu berdasarkan sifat 20 Allah yang pernah disampaikan kepada kita. Sederhananya, sifat-sifat yang wajib bagi Allah merupakan salah satu kaedah atau cara manusia untuk mengenal Penciptanya. Namun, setelah di bahas dan diamalkan hanya di ambil 7 dari sifat-sifat Allah tersebut bagi membantu umat mencapai sesuatu keputusan. Dengan melihat permasalahan secara berhemah dan bijaksana, tujuh sifat Allah yang diamalkan haruslah di praktikkan juga secara tertib (satu per satu) supaya diri dapat di latih tajam dalam membuat sesuatu keputusan.

1. hayyun ( ﺣﻴﺎﺓ )
Di mulakan dengan sifat wajib Allah iaitu hayat @ hayyun yang bererti hidup. Dalam erti kata lain, hidup dalam terjemahannya punya usia, umur atau masa. Kunci setiap permasalahan perlu diletakkan dahulu masa di paling hadapan. Adakah dalam memilih membuat sesuatu itu, masa yang ada mencukupi kerana sifat manusia yang tergesa-gesa akhirnya mengundang keputusan yang disesalkan.Seandainya masa menjadi persoalan, maka sifat-sifat lain tidak lagi ada keperluannya..
 
2. ilmuﻋﻠﻢ ) 
Seterusnya adalah mengambil sifat Allah iaitu yang punyai ilmu atau mengetahui. Untuk membuat sesuatu keputusan, perlu diperhalusi adakah sesuatu yang ingin di pilih atau di buat sudah ada pada diri ilmu atau pengetahuan tentangnya. Kekurangan ilmu terhadap sesuatu yang ingin diputuskan, barangkali menyukarkan apatalagi untuk dilaksanakan.

3. qudrat ( ﻗﺪﺭﺓ )
Bermaksud kuasa. Langkah seterusnya perlu menilai kemampuan sama ada pada diri punyai kuasa atau kemahiran terhadap perkara yang ingin dilakukan. Kebanyakkan manusia dalam membuat sesuatu keputusan suka meletakkan nafsu di depan tanpa menimbangkan keupayaan dan kemahiran yang ada pada diri. Maka tidak hairanlah ada di antaranya yang terkandas separuh jalan kerana faktor kelemahan atau hanya sekadar cuba-cuba tanpa mendahulukan untuk belajar mengasah kemahiran yang diperlukan.

4. iradat ( ﺇﺭﺍﺩﺓ )
Allah SWT bersifat berkehendak atau berkemahuan. Maka perlu ada pada seorang manusia menyamai sifat ini dalam proses membuat sesuatu keputusan. Adakah benar memilih sesuatu itu kerana keinginan hati atau sekadar mengikut atau dipengaruhi oleh kata-kata orang di sekeliling. Pertimbangan ini nampaknya seperti mudah, tetapi berapa ramai yang benar-benar dalam dirinya berkeinginan melakukan sesuatu kerana kepentingan peribadinya atau kerana mahukan keredhaan daripada Rabb nya ? 

5. sam'un ( ﺳﻤﻊ )
Belajarlah mendengar kerana di situ adakalanya terselit dan tersimpan sebanyaknya huda (petunjuk). Perbahasannya adalah yang perlu didengar ialah perkataan-perkataan yang betul (haq) dan dapat mendatangkan manfaat pada diri, bukan sia-sia atau tidak menguntungkan. Pada peringkat ini, jarang digunapakai orang dalam memutuskan sesuatu kerana lebih suka menjauhkan diri daripada mendengar pandangan orang yang lebih berpengalaman atau punyai keilmuan tentangnya. Setiap pendapat yang di kumpul dan dipertimbangkan akan memudahkan lagi proses membuat sesuatu keputusan.

6. basar (ﺑﺼﺮ )
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Melihat. Belajarlah melihat dan memerhati tetapi bukan sekadar memandang.Dengan melihat secara tenang, berlapang dada dan hati yang tulus ikhlas, di situ akan terdapatnya keterangan-keterangan yang nyata dan juga baiyinat (bukti) yang dapat membentuk keyakinan dalam membuat keputusan.

7. kalam  ( ﻛﻼ ﻡ ) kata-kata (ya @ tdk)
Proses terakhir untuk membuat keputusan adalah dengan mengambil sifat Allah yang Maha Berbicara atau berkata-kata. Setelah diteliti dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya dengan menggunakan sifat-sifat sebelumnya, maka sumirnya adalah diterjemahkan dengan kata-kata iaitu sama ada "ya" atau "tidak" dalam memutuskan sesuatu itu. Keyakinan yang jelas dan pasti bahawa keputusan yang diperolehi adalah atas dasar usaha yang juga jelas. 

Kaedah membuat keputusan menggunakan sifat-sifat Allah yang tujuh itu ada dikalangan ilmuwan Islam menyebutnya sebagai martabat tujuh. Barang pasti sudah dipraktikkan orang terdahulu dalam mendapatkan sesuatu keputusan melalui petunjuk oleh Allah SWT. Hanya kepada-Nya lah selalu diharapkan curahan rahmat dan rela-Nya, hidayah dan hidayatuttaufiq serta nikmat dan kurnia Nya.

Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. ( al-Baqarah, 2:202 )

Berikan Komen