Keputusan permesyuaratan dari kaum Quraisy di Darun Nadwah untuk membunuh Nabi Muhammad SAW sampai juga beritanya ke pengetahuan Baginda. Dan Nabi menunggu wahyu, bila seharusnya hijrah untuk menghadapi keputusan mereka yang sangat berbahaya. Akhirnya turun juga wahyu yang mewajibkan Nabi SAW segera berhijrah bersama-sama para sahabat dan umat Islam ke Yathrib. Suatu lembaran kisah mugmaharah (kisah keberanian menentang maut) hebat dan ngeri, kisah pengorbanan dan bermati-matian dalam membela keyakinan dan keberanian dalam mempertahankan iman dan akidah. Siasatan dan strategi Rasul itu sungguh jitu, lancar dan aman. Tanpa meninggalkan kesan dan tapak menyebabkan musuh-musuhnya yang siap sedia berbaris melingkari rumah untuk menangkap Rasul SAW menjadi sia-sia belaka. Rasul SAW telah tiada di rumah itu, entah ke mana perginya tidak ada seorang algojo pun yang mampu menentukan ke mana arah perginya Baginda sekalipun dijalankan perancangan dan penyiasatan awal bagi mengepung, menangkap dan membunuh Baginda.

Disini timbullah peranannya anak muda yang bernama Ali bin Abi Talib sebagai pengganti yang sentiasa siap sedia menerima apa jua bentuk ancaman, berkorban untuk keselamatan Nabi Muhammad SAW, berkorban untuk keselamatan Islam dan juga keselamatan umat Islam seluruhnya. Inilah peranan yang sangat besar Ali bin Abi Thalib yang patut dicontohi. Dirinya dilihat sebagai kunci keselamatan terhadap ancaman orang-orang dari kaum kafir yang telah meletakkan pilihan terakhir bahawa Nabi Muhammad SAW itu harus mati. Begitulah keadaan getir ketika itu di mana tidak ada jalan lain yang selamat lagi, rumah itu sudah dikepung oleh perajurit musuh yang terpilih adalah gagah berani, tidak mengenal erti kemanusiaan, tiada keraguan dan tangan mereka memegang senjata tempur yang tercanggih pada zaman itu.

Setelah larut dua pertiga malam di bawah perlindungan dan jagaan Allah SWT, keluarlah Rasul dari rumah yang telah berpagarkan musuh Islam itu dengan diam-diam, sehingga keberangkatannya tidak diketahui oleh mereka seorang pun. Baginda menuju ke rumah Abu Bakar sebagai tempat persinggahan. Abu Bakar adalah seorang sahabat yang setia, sabar, siap mendengar dan taat. Hijrahnya Rasul pada ketika itu adalah bersifat rahsia dan hanya diketahui oleh keluarga Abu Bakar dan seorang pembantunya yang bernama Amir bin Fuhairah. Mereka inilah yang menghantar makanan setiap malam dan juga menyampaikan informasi tentang kondisi dan situasi politik di kota dan sekitarnya.

Akhirnya tibalah waktu subuh, namun tidak ada seorang pun yang keluar dari rumah Nabi Muhammad SAW. Para algojo menjadi gelisah dan timbullah kekhuatiran di hati mereka. Kekhuatiran semakin bertambah cemas dan akhirnya diambillah keputusan untuk masuk ke dalam rumah, dibangunkan dan selanjutnya terus dibunuh. Pintu digedor beberapa kali dengan gedoran yang keras, akhirnya terbangunlah Ali bin Abi Talib lalu membuka pintu. Mereka menggertak Ali bin Abi Talib dengan nada marah yang memuncak. Betapa kesal dan marahnya mereka tidak tertahan lagi apabila melihat Ali seperti kebingungan dan tidak mengerti apa-apa. Bagaikan harimau kehilangan mangsanya, Ali bin Abi Talib menjadi sasaran amarah mereka. Dia diancam, dipukul dan dipaksa agar memberitahu ke mana Nabi Muhammad pergi. Tetapi apakah ertinya semua itu (musuh Allah itu) bagi Ali bin Abi Talib yang kuat akidah keimanannya dan keyakinannya, lebih teguh dari bukit batu. Dengan sikap dan nada marah, fikiran yang kacau bilau, keluarlah mereka mencari Rasullullah di luar, disekeliling kota Makkah, kemudiannya terus pergi jauh dari kota itu.


Pencarian kaum kafir akhirnya sampai juga berdekatan gua Tsur tempat persembunyian Rasullullah dan Abu Bakar. Salah seorang dari mereka mendaki gunung, merangkak dengan susah payah, mengakibatkan tenaganya banyak terkuras kerana pendakian gunung menuju ke gua Tsur itu. Memandangkan sukarnya menuju ke gua tersebut, timbul dugaan dan keraguan bahawa tidak mungkin yang dicari berada di tempat itu. Sampai juga akhirnya ke mulut gua, namun semakin hampa harapannya kerana permukaan mulut gua itu terdapat berlapis-lapis sarang labah-labah dan disitu pula ada seekor burung yang sedang mengerami telurnya didalam sarang, di atas sebuah pohon yang menutupi lubang gua. Dengan adanya tanda-tanda keberadaan sekitar mulut gua, maka dia membuat kesimpulan bahawa Nabi Muhammad tidak mungkin masuk ke dalam gua itu dan akhirnya turunlah dia dengan perasaan marah dan kecewa.

Abu Bakar berkeringat apabila mendengar derap langkah algojo itu tadi, seperti tidak ada harapan lagi, barangkali mereka akan diketahui juga. Nampak pada wajahnya yang sedang ketakutan, pucat dan gementar. Namun Muhammad Rasullullah SAW dengan jiwa kepemimpinannya dengan tenang dan sabar menghibur kecemasan dan ketakutan sahabatnya dengan ucapan “La tahzan innallaha ma ‘ana” (jangan takut, Allah bersama saya).

“Hai Abu Bakar,” kata Nabi selanjutnya, “apakah yang engkau takutkan atas diri dua orang, kalau Allah berada sebagai kawan yang ketiga?”

Atas peristiwa inilah Allah berfirman dalam Al-Quran, Surah At-Taubah ayat 40 sebagai berikut :

“ Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Dalam gua itu Rasullullah dan Abu Bakar bersembunyi selama lebih kurang tiga malam, menanti reda dan tenangnya kegemparan dan keributan kaum Quraisy mencari mereka. Tepat pada tanggal 1 Hijiriah (22 jun 622M), Rasul bersama Abu Bakar meninggalkan Gua Tsur. Pada tanggal 4 Rabi’ul-Awal tahun 1H, dengan dipandu oleh Abdullah bin Uraiqith, ditinggalkan kota Makkah pada malam gelap menuju ke arah selatan, melingkar ke arah barat lalu ke utara menuju ke kota Yathrib. Perjalanan terus berlanjut dan akhirnya sampailah di sebuah desa yang bernama Quba’ pada hari Isnin 12 Rabi’ul-Awal tahun 1H. Di tempat ini Rasullullah beristirehat selamat empat hari dan selama beberapa hari itu ternyata tidak disia-siakan oleh Rasullullah. Baginda mendirikan sebuah masjid dan dinamakan Masjid Quba’. Inilah Masjid yang pertama kali didirikan oleh Rasullullah.


Pada tanggal 16 Rabi’ul-Awal, tibalah Rasullullah di kota Yathrib dengan sambutan umat yang luar biasa dengan kondisi dan situasi yang aman damai tidak seperti di kota Makkah. Di kota Yathrib inilah Rasul beserta umat Islam melaksanakan Solat Jumaat yang pertama dalam sejarah Islam. Ini juga bererti bahawa Rasullullah SAW melaksanakan khutbah di tengah-tengah masyarakat Muslim Yathrib buat pertama kalinya.

Di saat Rasullullah SAW sampai di kota Yathrib, unta yang ditunggang Baginda telah berhenti dengan kemahuannya sendiri. Selangkah demi selangkah unta Baginda berjalan dan akhirnya berhenti dengan bersimpuh. Turunlah Rasullullah SAW. Di atas sebidang tanah kepunyaan dua orang yatim yang akhirnya dibeli, disitulah Rasullullah mendirikan sebuah rumah dan masjid yang dikenal dengan nama Al-Masjidin Nabawi yang sampai saat ini terpelihara sebagai lambang kesucian dan kebesaran Islam di tanah Mahjar.

* Selamat Menyambut Maal Hijrah 1435H dari Penulis Bahasa Orang Merantau.

Rujukan :

1. Hj. Rd H, M Hum, Kajian Pemahaman Ad-Diinul Islam, Rabiul-Awal 1424H

2. H. Rus’an, Lintasan Sejarah Islam di Zaman Rosulullah SAW, 1981, hal 89



Berikan Komen