Pasukan Kafir Quraisy Memulakan Serangan 


Pada hari itu.. di tempat yang bernama Badar, seorang pahlawan yang bernama Aswad bin Abdul Asad El-Machzamy cuba hendak menerobos pertahanan Islam dengan maksud hendak merebut salah satu kolam yang keseluruhannya telah dikuasai pihak Islam. Serangan secara tiba-tiba dari pihak kafir Quraisy pada pagi buta tersebut telah dapat diketahui oleh pengawal yang sangat waspada iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib (bapa saudara Rasulullah).


Kedatangan pahlawan itu langsung disambut oleh Hamzah bin Abdul Muthalib dengan satu tebasan pedang sehingga terguling Al-Aswad dan berlumuran darah. Kemudian disusuli pula oleh tiga orang pimpinan Quraisy iaitu 'Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabi'ah dan Al-Walid bin Utbah. Ketiga-tiga mereka berteriak meminta lawan yang seimbang iaitu lawan yang sama-sama dari Makkah, bukan  dari Madinah yang tidak ada hubungan dengan mereka. Sebelum Nabi memberi suatu jawapan, tiga orang pahlawan Islam yang berasal dari suku Quraisy Makkah terus keluar iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib, Ali bin Abu Thalib bin Abdul Muthalib dan Ubaidah bin Al-Harits bin Abdul Muthalib. Ketiga-tiga mereka adalah orang-orang yang rapat sekali hubungannya dengan Rasulullah SAW dalam soal perjuangan Ad-Diinul Islam dan juga nasab keturunan. 

Pertempuran pun terus bermula dan tidak sampai dua minit, Hamzah telah dapat membunuh Syaibah. Begitu juga Ali, bersamaan pula waktunya, dapat memindahkan 'Utbah bin Rabi'ah ke alam mati. Selanjutnya Hamzah dan Ali secepatnya menolong pertarungan ‘Ubaidah dan berhasil menewaskan Al-Walid bin 'Utbah. Dengan demikian ketiga pahlawan Kafir Quraisy tewas. Setelah seluruh pasukan Quraisy melihat ketiga-tiga pahlawannya mati maka mereka terus membuka langkah pertempuran dan menyerang pihak tentera Islam secara besar-besaran. Berlakulah satu peristiwa bersejarah pada awal pagi (subuh) iaitu pada hari Jumaat bersamaan l7 Ramadhan tahun ke 2 Hijriyah.


Rasul Memimpin Pertempuran 


Muhammad Rasullullah sebagai komandan tertinggi dari seluruh pasukan tentera Islam dan umat Islam seringkali ditemani oleh Abu Bakar yang sangat setia kepada Baginda. Pertempuran tidak dapat dihindari lagi dan langsung menjadi semakin hebat dengan pertarungan seluruh kekuatan dari kedua-dua belah pihak. Tatkala itu Rasulullah berdo'a kepada Allah SWT: 

“Ya Allah, orang Quraisy ini telah datang dengan bongkak dan takabbur bermaksud hendak mendustakan Rasul Mu.. Ya Allah, berilah pertolongan yang telah engkau janjikan kepada saya. Ya Allah, jika hancur kesatuan ini engkau tidak akan disembah orang lagi.” 

Oleh kerana bersungguh-sungguh Rasul berdo'a kepada Allah, lupalah sebentar Baginda akan dirinya sehingga tiada disedari kain ridanya telah jatuh dan beliau menjadi mengantuk seketika dan dalam mengantuknya itu Rasulullah SAW dapat melihat dengan jelas pertolongan Allah SWT yang akan diberikan kepada pasukan Islam pada pagi itu. 

Kemudian Rasulullah pun maju dan dengan penuh semangat dan kegembiraan mengkomandani pasukannya supaya terus maju bertempur dan tidak sesekali memberi ruang dan waktu kepada musuh. Baginda mengobarkan semangat dan  jiwa personal para mujahid dengan seruan : 

“Demi Allah yang menguasai jiwa Muhammad, siapa yang hari ini terbunuh dalam keadaan zalim serta mengharapkan keredhaan Allah, dan dalam keadaan maju tiada mundur, dia akan dimasukkan Allah ke dalam Syurga !

Abu Jahal terbunuh 

Abu Jahal adalah komandan tertinggi di pihak kafir Quraisy. Beliau bertanggungjawab dalam soal pertempuran dan memiliki sifat jiwa tempur yang dikendalikan oleh nafsu syaitaniah. Setelah dia melihat gerakan maju yang bersemangat dari pihak pasukan Islam yang begitu kuat, ternyata Abu Jahal tidak mahu mundur dan menyerah, malah semakin ghairah menunggang kudanya untuk terus bertempur. Kepandaiannya berperang sememangnya hebat, selama berperang tidak pernah dia turun dari kudanya tambahan lagi beliau kuat dan lincah bermain pedang. Melihat suasana itu, kelihatan pihak pasukan Islam telah bersiap sedia menyambut kedatangan Abu Jahal. Terkepunglah dia sehingga tidak dapat lagi bergerak. 



Datanglah pahlawan Islam yang bernama Abdullah bin Mas'ud langsung berhadapan dengan Abu Jahal. Tanpa mengambil masa yang lama Abu Jahal telah dapat dijatuhkan, malah dapat juga dipijak dada dan kakinya. Sekali pun sudah tidak lagi berdaya, namun dia masih mampu bersuara. Tidak ada lagi kekuatan untuk mengikuti Nabi Muhammad SAW. Hanya tinggal lidah yang masih mahu berkata-kata, sebelum dipisahkan kepala dari badannya.


Maka Abdullah bin Mas'ud pun terus memenggal leher Abu Jahal dan kepalanya dibawa kepada Rasulullah SAW sebagai tanda bukti terbunuhnya Abu Jahal. Baginda yang setelah melihatnya langsung turun dari kuda Baginda dan bersujud kepada Allah SWT. Rasulullah memanjatkan rasa syukur atas pertolongan Allah SWT yang telah diberikan kepada agama (Diinullah) dengan melenyapkan orang-orang seperti Abu Jahal yang terkenal dengan sifat-sifat buruk, ganas dan zalimnya di tengah-tengah masyarakat. Syukurnya Rasulullah dengan mengucapkan : 



“Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan dia, segala puji bagi Allah yang telah menghinakan Abu Jahal, dan Allah akan menghinakan musuh-musuhnya.”


Telah tewas Abu Jahal sebagai panglima tertinggi tentera kafir yang mati dalam kehinaan, di samping Umaiyah bin Khalaf pemimpin Quraisy yang terkaya juga kecundang mengikuti Utbah bin Rabiah serta anaknya Al-Walid bin Ut'bah.


Hasil Pertempuran Badar

Pada petang hari itu berakhirlah pertempuran di bumi Badar. Hasilnya, kekalahan yang besar di pihak kafir Quraisy.Apabila pasukan Islam dalam keadaan selamat, jenazah Islam selamat dan umat Islam selamat, mereka langsung tidak menunjukkan rasa sombong, tidak membangga diri, apa lagi mengaku dirinya yang paling kuat atau hebat sehingga tidak dapat dikalahkan. Tidaklah sesekali sedemikian. Kemenangan itu hanyalah penetapan Allah SWT, sungguh tidak patut manusia berasa sombong, mengaku kuat, hebat, apa lagi mengaku segala-galanya, laa haula wa laa quwata illa billah

Pertempuran yang besar tersebut pada saat itu berjatuhan korban di kedua-dua belah pihak dan tercatat seperti berikut:

Pihak Islam
Pihak Kafir Quraisy
Wafat 14 orang syuhada'.
70 orang kafir mati.
Tidak ada yang tertawan.
70 orang kafir tertawan.
Kebendaan tidak jelas.
Kebendaan tidak jelas.
Pasukan 313 orang; Muhajirin 77 orang, Ansar 236 orang.
1000 orang kafir Quraisy.
Pimpinan/Panglima di bawah komando Rasulullah SAW.
Pimpinan dipimpin oleh Abu Jahal, Abu Sufyan, dan ‘Utbah bin Rabi'ah.
Pemegang bendera: Ali bin Abi Tholib dan Sa'ad bin Ubadah.
Kenderaan 1000 kuda dan 700 unta.
Senjata : 6 baju besi, 8 pedang.
Senjata: tidak terbilang jumlahnya (banyak).
Menang.
Kalah.
Perimbangan kekuatan Perang Besar Badar


Peristiwa Perang Besar Badar ini didokumenkan Allah dalam Al-Qur'anul Karim sebagaimana berikut ini, di antaranya dalam Surah Muhammad dan Surah Al-Anfaal  yang bermaksud : 

" Hai orang-orang Mukmin, jika kamu menolong (Ad-Diin) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad,47:7)

" Iaitu ketika Allah menampakkan mereka kepadamu di dalam mimpimu (berjumlah) sedikit. Dan sekiranya Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (berjumlah) banyak tentu saja kamu menjadi gentar dan tentu saja kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan itu, akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati." 
(Al-Anfaal,8 :43)

" Dan ketika Allah menampakkan mereka kepada kamu sekalian, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu dan kamu ditampakkanNya berjumlah sedikit pada penglihatan mata mereka, kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan. Dan hanyalah kepada Allah dikembalikan segala urusan" (Al-Anfaal,8 :44)

Tamat.

Berikan Komen