Yang di namakan Ramadhan dan Rezeki

Maha Suci Allah, zat yang telah mewajibkan hamba-hamba Nya untuk menunaikan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Suatu perintah yang menjadi kunci dan kurnia bagi menyucikan kekuatan zahir dan batin, membimbing jiwa, mententeraman hati dan   mempersembahan diri yang tulus kepada Allah keseluruhannya.Hanya kepada Nya lah kita senantiasa mengharapkan sebesar-besar dan sebanyak-banyaknya maghfirah di atas kesalahan dan kemungkaran yang telah diperbuat sebelum ini, sama ada kecil atau besar, baik dengan sedar mahupun dengan tidak sengaja.

Dari sudut etimologi, Ramadhan di ambil dari asal kata ra’-mim-dha’ yang bererti ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan atau lainnya.Secara sederhana ada alim ulamak menyebutnya langsung sebagai "panas" kerana datangnya bulan ini dari panasnya sinaran cahaya matahari. Maka tidak hairanlah jika Ramadhan seringkali datang di awal waktu kemuncaknya musim panas.Malah ada pula yang berpendapat "panas" itu bererti kepanasan diri orang yang berpuasa dalam menahan nafsunya daripada marah, lapar dan dahaga serta mendengar,melihat dan bercakap tentang perkara yang sia-sia.

Dunia Islam ku..


Sekiranya aku tak masuk ke dalammu
Sampai kini tak akan ku tahu
Betapa manisnya sebuah perjanjian
Betapa indahnya sebuah perjuangan

Sekiranya aku tak berjalan bersamamu
Pengalamanku tak akan menjadi dewasa
Untuk menilai apa erti keredhaan
Untuk memaknakan apa erti pengorbanan

Sekiranya aku tak berilmu denganmu
Nescaya aku tak akan mengerti
Betapa halusnya sunnah dan Furqan
Betapa murninya tali persaudaraan



11.00am 6 Ramadhan 1433

Antara dua bahasa zaman

Bunga kasih kita
Kita subur wangikan
Dengan baja kesetiaan
Disirami air ketulusan
Penuh ketertiban

Bunga kasih kita
Adalah milik bersama
Yang akan ditaburkan
Di laman kehidupan
Dari kita yang mengerti

Bunga kasih kita
Menyubur dan mewangi
Menerangi kesuraman maya
Menjelmakan warna keindahan
Di persada pasti


Begitulah puisi menyatakan apa yang tersemat di dalam jiwa. Sedaya upaya bahasa di susun indah untuk didedikasikan kepada yang teristimewa. Sebagai bukti, puji dan janji bahawa dialah insan yang sedang bertakhta di hati. Ternyata inilah salah satu wadah bagaimana hubungan diwarnakan bagi pasangan yang sedang di lamun cinta. Seringkali wadah ini dilampirkan dalam sepucuk surat kepada pasangan yang berjauhan kerana dilanda ombak kerinduan. Bagi orang yang merantau jauh, tiada apa yang mampu diungkapkan kepada yang tersayang melainkan puisi sebagai saksi. Dapat di lihat betapa kreatifnya orang terdahulu menterjemahkan perasaan sayang dan rindu, bahasanya penuh tersirat (berjiwa seni) tetapi diam dan malu untuk bersuara apatalagi ingin bersua muka (menjaga kemuliaan diri).

Perempuan dalam Islam : satu pengenalan..


Sejak kebelakangan ini penulis cuba menghayati tugas para wanita yang bergelar isteri muslimah di rumah. Dalam erti kata lain, menjiwai tanggungjawab dan amanah yang diberikan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti harian yang sering dilakukan seorang suri rumah merangkap ibu bagi anak-anaknya. Mungkin ini kerananya ruang dan masa terbaik yang diberikan Allah kepada penulis sebelum datang nanti tugas-tugas pengajian dan saat-saat seperti ini barangkali sukar untuk diulangi lagi. Bukan hanya memasak, mengemas rumah, menjaga dan menyiapkan keperluan anak dan sebagainya, penulis cuba menyelami isi hati para isteri dan ibu ini dan terbuktilah ia sememangnya menuntut satu pengorbanan yang tinggi yang lahir dari dalam diri. Apatalagi jika pergerakan hanya terbatas pada ruang (rumah) dan masa (harian) yang sama setiap hari, adakalanya penulis menarik nafas panjang…begitu kental jiwa dan kesabaran yang dimiliki mereka, dan Allah SWT berlaku sangat adil dan maha bijaksana memberikan kemampuan seumpama itu khas bagi kaum wanita. Jika sebelumnya tugasan di buat bersama-sama isteri, cabarannya kali ini mampukah suami yang buat semuanya sendirian, bagaimana?


Bagi oposisi lelaki pula, hakikatnya tidaklah dianggap pelik bila mana suami membantu tugas-tugas harian isteri di rumah. Lihatlah contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW, baginda bukan sahaja menjadi khalifah, imam dan pemimpin negara, malah ciri-ciri kepemimpinan itu sudah ada dan di praktikkan dalam sekecil-kecil ruang iaitu di rumah. Oleh yang demikian, bagi seorang yang bernama lelaki itu, wajib ada pada dirinya ketiga-tiga ciri-ciri seperti yang ditunjukkan Muhammad Rasullullahitu supaya ia dapat dijadikan suri tauladan bukan sahaja di tempat mencari rezeki tetapi yang paling penting adalah bagaimana menangani permasalahan keluarga di rumah! Pernyataannya mudah, seandainya seseorang itu tidak dapat mentadbir atau memimpin rumah dan seisinya dengan baik dan bijaksana, tentulah pasti beliau tidak mampu menjalankan tanggungjawab dalam mentadbir atau menjadi kepala sesuatu organisasi atau komuniti dengan sempurna.