Kembali ke pohon asal

Pada waktu itu, di tempat bernama Syahadah, kelihatan seorang lelaki berjalan menghala ke sebatang pohon yang besar tetapi rendang. Pada waktu itu, sekumpulan manusia yang sedang berteduh dipohon lain yang hampir rebah ke tanah  memandang lelaki itu dengan seribu pertanyaan dan kekeliruan. Tidak tergambar betapa gerunnya keadaan manusia-manusia itu yang sanggup berhimpit-himpit, bergaduh dan menyalahkan antara satu sama lain. Bukan hanya sebatang pohon yang berkeadaan begitu, malah tidak terbilang banyaknya pohon-pohon yang telah rosak, kering dan hampir mati tetapi dikerumi oleh manusia dari pelbagai bahasa dan rupa yang mahu terus berlindung di bawah pohon yang tidak nampak lagi manfaatnya. Aneh. 

Sebelum itu mereka yang kesemuanya berasal dari tempat yang bernama Rahiim adalah manusia yang suci bersih dirinya. Seumpama kain putih yang tidak terlekat oleh kotoran atau warna-warna ideologi yang tercemar. Masing-masing memikul amanah dan tujuan yang sama iaitu mahu mengikut  perintah Tuhan untuk berhijrah dan membina kehidupan di bawah satu-satunya pohon dari syurga yang masih hidup subur di bumi Syahadah itu. Al-kisah pohon itu telah ditanam oleh seorang utusan dari Malakut yang sangat indah negerinya. Tunasnya pula dikurniakan oleh Sang Raja bersinggahsana di Mustawan lalu menjadikan pohon itu sangat kuat, besar dan tegak lurus serta tidak dapat disentuh oleh perubahan ruang, masa dan zaman. Begitulah sifatnya pohon yang dinamakan Tauhid itu yang memiliki akar yang teguh dan cabangnya langsung mekar menjulang ke langit.