Sejak kebelakangan ini penulis cuba menghayati tugas para wanita yang bergelar isteri muslimah di rumah. Dalam erti kata lain, menjiwai tanggungjawab dan amanah yang diberikan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti harian yang sering dilakukan seorang suri rumah merangkap ibu bagi anak-anaknya. Mungkin ini kerananya ruang dan masa terbaik yang diberikan Allah kepada penulis sebelum datang nanti tugas-tugas pengajian dan saat-saat seperti ini barangkali sukar untuk diulangi lagi. Bukan hanya memasak, mengemas rumah, menjaga dan menyiapkan keperluan anak dan sebagainya, penulis cuba menyelami isi hati para isteri dan ibu ini dan terbuktilah ia sememangnya menuntut satu pengorbanan yang tinggi yang lahir dari dalam diri. Apatalagi jika pergerakan hanya terbatas pada ruang (rumah) dan masa (harian) yang sama setiap hari, adakalanya penulis menarik nafas panjang…begitu kental jiwa dan kesabaran yang dimiliki mereka, dan Allah SWT berlaku sangat adil dan maha bijaksana memberikan kemampuan seumpama itu khas bagi kaum wanita. Jika sebelumnya tugasan di buat bersama-sama isteri, cabarannya kali ini mampukah suami yang buat semuanya sendirian, bagaimana?


Bagi oposisi lelaki pula, hakikatnya tidaklah dianggap pelik bila mana suami membantu tugas-tugas harian isteri di rumah. Lihatlah contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW, baginda bukan sahaja menjadi khalifah, imam dan pemimpin negara, malah ciri-ciri kepemimpinan itu sudah ada dan di praktikkan dalam sekecil-kecil ruang iaitu di rumah. Oleh yang demikian, bagi seorang yang bernama lelaki itu, wajib ada pada dirinya ketiga-tiga ciri-ciri seperti yang ditunjukkan Muhammad Rasullullahitu supaya ia dapat dijadikan suri tauladan bukan sahaja di tempat mencari rezeki tetapi yang paling penting adalah bagaimana menangani permasalahan keluarga di rumah! Pernyataannya mudah, seandainya seseorang itu tidak dapat mentadbir atau memimpin rumah dan seisinya dengan baik dan bijaksana, tentulah pasti beliau tidak mampu menjalankan tanggungjawab dalam mentadbir atau menjadi kepala sesuatu organisasi atau komuniti dengan sempurna.


Berbalik cerita menjiwai tugas dan amanah isteri dan ibu tadi, penulis ingin menyampaikan bahawa ia mempunyai makna dan bentuk yang sama seperti menjiwai peranannya perempuan dalam Islam. Adalah pasti isteri dan ibu yang mulia sifatnya adalah bermula dari seorang perempuan yang memahami dan mendalami peranannya sebagai hamba Allah. Iaitu terkandung dalam dirinya nilai yang tinggi dan luhur di hadapan semua makhluk dan tidak dapat diukur hanya dengan sekadar dunia dan seisinya. Jika seandainya kalian para perempuan itu mengerti, di satu sisi kalian sebenarnya mampu di angkat ketempat yang indah, mulia dan terpuji.

Perempuan secara zahirnya adalah insan yang sama dengan lelaki adalah manusia yang tugas dan kewajibannya sama iaitu mengabdi kepada Rabbnya sesuai dengan sifat dan karakternya masing-masing. Sederhananya, inilah pandangan Islam tentang perempuan. Islam menempatkan sesuai dengan kudrat, sifat dan nalurinya, memuliakan sehingga perempuan tidak boleh dijadikan alat jual beli untuk memenuhi nafsu yang lain jenisnya, diperhambakan, dibelenggu, di jajah kemerdekaannya, diperlakukan sehingga melanggar kudratnya. Tetapi apalah daya, realitinya sehingga saat ini kebanyakkan wanita itu masih juga diperlakukan sebegitu untuk menghidupkan budaya jahiliyah. Itulah cara kehidupan umat Jahiliyah terdahulu yang datang dari hasil sistem pemerintahan yang juga Jahiliyah.
Sumirnya di sini, baik perempuan mahu pun lelaki tidak akan memiliki nilai pun di sisi Allah, kecuali mereka beriman dan bertaqwa. Islam mengangkat perempuan dalam pelbagai lapangan kehidupan, menciptakan keluarga yang bahagia dalam setiap ruang hidup dan berkehidupan rumah tangga, berperanan dalam mendidik dan membimbing anak-anak, bahkan tidak sedikit lelaki yang berjaya dalam kerjaya mereka kerana dorongan dari isterinya. Sehingga secara khusus pula Allah mengabadikan bahawa hidup dan kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW lah sebagai uswatun hasanah dan contoh terbaik sampai ke akhir zaman.
p/s penulis teringat satu rangkap kata-kata seorang tua yang banyak pengalaman hidupnya. Katanya “ hari ini, jika nak mencari bini itu mudah tetapi nak mencari seorang isteri itu sangatlah payah..”

Berikan Komen