Bunga kasih kita
Kita subur wangikan
Dengan baja kesetiaan
Disirami air ketulusan
Penuh ketertiban

Bunga kasih kita
Adalah milik bersama
Yang akan ditaburkan
Di laman kehidupan
Dari kita yang mengerti

Bunga kasih kita
Menyubur dan mewangi
Menerangi kesuraman maya
Menjelmakan warna keindahan
Di persada pasti


Begitulah puisi menyatakan apa yang tersemat di dalam jiwa. Sedaya upaya bahasa di susun indah untuk didedikasikan kepada yang teristimewa. Sebagai bukti, puji dan janji bahawa dialah insan yang sedang bertakhta di hati. Ternyata inilah salah satu wadah bagaimana hubungan diwarnakan bagi pasangan yang sedang di lamun cinta. Seringkali wadah ini dilampirkan dalam sepucuk surat kepada pasangan yang berjauhan kerana dilanda ombak kerinduan. Bagi orang yang merantau jauh, tiada apa yang mampu diungkapkan kepada yang tersayang melainkan puisi sebagai saksi. Dapat di lihat betapa kreatifnya orang terdahulu menterjemahkan perasaan sayang dan rindu, bahasanya penuh tersirat (berjiwa seni) tetapi diam dan malu untuk bersuara apatalagi ingin bersua muka (menjaga kemuliaan diri).


Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa cinta sejati orang dahulu kebanyakannya itu lahir setelah dipateri oleh ikatan pertunangan dan pernikahan. Kadang kala kita dengar, orang dahulu lebih senang atau rela dijodohkan oleh orang tua atau ketua yang memahami dan mengetahui siapa pasangan yang terbaik untuk mereka. Sesudah itu, mereka turut di bimbing bagaimana membina sebuah masjid (rumah tangga) yang diredhai oleh Allah SWT. Maka tidak hairanlah,cinta yang di semai sesudah menjadi suami isteri itu lebih bererti dan terus mekar hingga ke hujung nyawa. Waima Allah Azzawajjala juga turut menasihati kita dalam surah an-Nuur yang bermaksud : 


Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (an-Nuur,24:32) 

Secara sederhana, apabila sudah sampai maksud dan kehendak (niat) untuk berumah tangga, maka wajib ada orang tua atau ketua yang menguruskan dalam erti mengahwinkan orang yang bersendirian itu. Malah keyakinan mereka juga tinggi dan mempercayai bahawa rezeki sesudah berkahwin telah pun ada, tersedia dan ditetapkan oleh Allah seperti sandaran ayat yang sama.. “Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya.” 

Zaman langsung berubah… 

Kaedah menulis dan menyampaikan puisi ini sudah jarang digunakan orang terutamanya pada anak muda zaman ini. Malah, jika ada yang masih bermadah dan berpuitis orang itu mungkin akan di gelar oleh rakan-rakannya sebagai mat jiwang atau minah jiwang. Barangkali bahasa puisi sudah menjadi asing. Mungkin kerana sudah malas di fikir orang untuk mengarang ayat yang mengandungi erti tersembunyi. Tambahan lagi, surat sebagai pengganti diri sudah jarang sekali digunakan kerana sudah ada kaedah yang lebih pantas mengutus wadah melalui internet. Malah, untuk menyatakan segala rasa yang terpendam di hati tidak perlu lagi di tulis dengan ayat berlapik tetapi hanya menggunakan telefon atau internet untuk meluahkan semuanya. Ringkas dan padat. Bak kata orang moden hari ini “straight to the point”. Begitulah mudah perhubungan di jalin disebabkan sokongan teknologi tanpa sempadan hari ini. 

Maka tidak hairanlah jika di lihat kebanyakan pasangan uda dan dara pada zaman ini bertemu jodoh mereka di corong laman sesawang yang menyediakan perkhidmatan berkomunikasi secara langsung. Hanya berbekalkan profil, kata-kata manis dan wajah yang di edit dengan baik maka peratusan untuk menambat hati pasangan adalah lebih tinggi. Ternyata perkenalan secara media sosial pada zaman ini akhirnya mampu untuk membawa pasangan ke dunia nyata walaupun sebelumnya tidak pernah bersua muka. Kesannya, ada yang membawa hingga ke jinjang pelamin tetapi rata-ratanya lebih banyak yang membawa ke lembah kemaksiatan dan kehinaan. Maka tidak hairanlah, ada yang berkata cinta yang di semai sebelum menjadi suami isteri itu lebih bersifat kenafsuan atau sementara dan mudah layu sebelum sampai masanya. Wallahualam..

Berikan Komen