Maha Suci Allah, zat yang telah mewajibkan hamba-hamba Nya untuk menunaikan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Suatu perintah yang menjadi kunci dan kurnia bagi menyucikan kekuatan zahir dan batin, membimbing jiwa, mententeraman hati dan   mempersembahan diri yang tulus kepada Allah keseluruhannya.Hanya kepada Nya lah kita senantiasa mengharapkan sebesar-besar dan sebanyak-banyaknya maghfirah di atas kesalahan dan kemungkaran yang telah diperbuat sebelum ini, sama ada kecil atau besar, baik dengan sedar mahupun dengan tidak sengaja.

Dari sudut etimologi, Ramadhan di ambil dari asal kata ra’-mim-dha’ yang bererti ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan atau lainnya.Secara sederhana ada alim ulamak menyebutnya langsung sebagai "panas" kerana datangnya bulan ini dari panasnya sinaran cahaya matahari. Maka tidak hairanlah jika Ramadhan seringkali datang di awal waktu kemuncaknya musim panas.Malah ada pula yang berpendapat "panas" itu bererti kepanasan diri orang yang berpuasa dalam menahan nafsunya daripada marah, lapar dan dahaga serta mendengar,melihat dan bercakap tentang perkara yang sia-sia.


Hikmahnya sebulan berpuasa ini bagi sesiapa yang sentiasa ingin mendapat keredhaan dan nikmat dari Allah SWT, pada tiap-tiap saat (sepanjang tahun) dan di mana-mana tempat sekalipun semangat Ramadhan harus sentiasa terus menyala-nyala dalam diri terutamanya dalam melaksanakan segala tuntutan dan perintah Ilahi. Amal usaha yang bersungguh-sungguh pada jalan Allah yang telah diusahakan dalam Ramadhan ini (seperti membaca Al-Quran, Tahajud, berzikir dan sebagainya) seboleh-bolehnya perlulah dipraktik secara konsisten iaitu dengan tekad isti'anah, dengan amal Istiqamah dan Istiha'ah agar kuat menahan diri dari segala dugaan dan cubaan dalam keadaan apa juga sekalipun.

Ramadhan, ada juga yang melihatnya sebagai punca menambah rezeki.Begitu banyak rezeki diturunkan olah Allah SWT kepada makhluknya bukan sahaja bagi orang yang berpuasa (muslim) malah orang yang bukan Islam juga turut sama merasa tempiasnya.Bagi yang pandai mengambil peluang, bulan ini digunakan sebaik-baiknya untuk berniaga demi mencari pulangan rezeki yang berlipat kali ganda.Terserahlah bagaimana untuk membelanjakannya,jika datangnya untuk niat yang baik maka tentu sahajalah hasilnya juga menjadi baik begitulah sebaliknya.

Berbicara tentang rezeki, mungkin ada diantara kita yang tidak mengetahui bahawa ada pelbagai jenis rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada setiap manusia. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ".(Saba',34:36)

" Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu." (adz-Dzariat, 51:22)

Syahdan, maka rezeki yang telah ditentukan Allah SWT sejak awal-awalnya lagi sudah di rasai sejak dari lahirnya manusia ke dunia ini.Namun kepada yang berfikir dan menghayati akan curahan rezeki yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambanya, pastilah jelas tidak akan sama atau berbeza-beza setiap orang memperoleh keadaan dan bentuknya. Ini kerana hanya Allah Azzawajalla-lah yang maha berhak dan berkehendak untuk menentukan sebanyak mana rezeki yang diterima oleh setiap manusia sebagai membuktikan sifat agungnya Yang Maha Asih lagi Maha Penyayang.

Namun,melalui ilmu dan pengalaman yang telah dilalui oleh orang-orang Mukmin terdahulu dapatlah dikongsi bersama-sama bahawa pembahagian rezeki dapat diterjemahkan ke dalam tiga jenis atau bentuknya iaitu :

1. Kabiro (كبير) : rezeki yang besar atau banyak.
Manusia yang memperolehi rezeki ini sering digelar sebagai orang yang kaya atau mewah hidupnya. Punya pendapatan yang besar dan harta yang banyak. Pastinya orang yang diberikan rezeki yang melimpah ruah ini boleh diumpamakan sebagai penerima "satu pakej" iaitu disertakan sekali ujian yang setimpal dengan kemewahan yang diperolehi mereka.Contohnya perlu menggendong bermacam-macam permasalahan hidup terutamanya bagaimana meletakkan rezeki yang diperoleh itu ke tempat yang betul (haq) atau melaksanakan kewajiban mengagih-agihkan pendapatan dan hartanya kepada yang berhak menerimanya.Malah harta benda dan perniagaan (rezeki) itu sendiri adalah ujian buat mereka kerana seringkali boleh menimbulkan sifat negatif seperti  riak, sombong dan tamak. Kekayaan juga seringkali membuatkan seseorang itu timbul perasaan takut. Ini adalah antara ujian dominan bagi mereka yang takut akan kehilangan atau kekurangan harta yang sudah banyak dikumpul dan juga takut seandainya diri mereka di rompak atau di tipu.Penyataan seumpama ini diperakui kebenarannya oleh Allah SWT dalam firmannya : 
                        

" Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan...." (al-Baqarah, 2:155)


2. Basiro (بسير) : rezeki yang sederhana/pertengahan. 

Kebanyakkan manusia di beri rezekinya dari jenis ini. Mereka mendapat rezeki yang sederhana dari atas apa yang mereka kerja dan usahakan. Adakala rezeki bertambah pada satu-satu masa dan tidak kurang juga di uji dengan kekurangan harta apabila di timpa musibah dan sebagainya. Penyakit yang seringkali timbul dalam pemberian rezeki seumpama ini adalah adanya sifat dengki dan iri hati terhadap orang lain yang mendapat kemurahan rezeki dan sentiasa rasa tidak cukup dan ingin menambah-menambah hartanya. Bagi mereka yang bersyukur walaupun hanya dengan rezeki yang sederhana pasti akan sentiasa mengingati nikmat yang diberikan Allah SWT seperti dalam firman Nya: 

" Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku." (al-Baqarah, 2:152) 

3. Soghiro (صغير) : rezeki yang kecil.
Rezeki yang dikatakan mengandungi banyak keberkatan di dalamnya. Bagi mereka yang sentiasa redha dan bersyukur seandainya diberikan hanya sedikit rezeki jenis ini, kehidupannya sentiasa dilimpahi rasa aman, selamat dan berkat. Umpama seorang lelaki yang  hanya punyai hamparan tikar buruk sebagai alas tidurnya, maka dia sangat bersyukur kerana menganggap tikar itu merupakan salah satu rezeki pemberian Allah SWT yang tidak ternilai untuk dirinya.Cukup sekadar apa yang ada untuk keperluan diri dan keluarganya dan tidak pernah pula timbul rasa sesalan mahupun rungutan.Sesungguhnya inilah adalah jenis rezeki yang sangat disukai Allah SWT buat hamba-hambanya yang terpilih dan di lihat juga sebagai satu ujian dan menunjukkan ikatan rasa kasih sayang dari Nya.Wallahualam. 

Begitulah rezeki yang sedang kita kecapi pada saat ini. Dalam kategori mana diberikan rezeki hanyalah Allah SWT yang lebih mengetahui sedang kita perlu sentiasa berusaha dan bersiap siaga kerana yang dinamakan rezeki itu merupakan satu ujian. Bagi yang sering berdoa untuk menginginkan rezeki yang suci dan besar, kesabaran juga perlu di semai sehingga tahap yang tinggi.Tidak berat dikatakan bahawa untuk diberikan Allah nikmat rezeki yang berganda adakalanya di uji dan di coba sehingga menumpahkan titisan air mata.Seumpama anak kecil yang baru lahir, begitulah dia akan menangis kerana mahu kan susu (rezeki) dari badan ibunya. Tatkala ibu pula yang belum pernah mengeluarkan susu dari badannya perlu menunggu satu reaksi atau tindakbalas sehinggalah susu tersebut secara semulajadi keluar (atas perintah dari Allah) dengan banyaknya. Fitrahnya, anak kecil itu menangis kerana dia juga perlu bersabar menunggu susu (rezeki) itu keluar melalui badan ibunya (sumber rezeki) yang pasti datang dan seterusnya dirasakanlah satu nikmat dan  anugerah yang tak terungkap dari Rabb nya. Sumirnya,di harap janganlah berputus asa dalam mengharapkan rezeki dan rahmat dari Pencipta yang menciptakan kita..







Berikan Komen