Ada Apa Pada Jugra?


Jugra yang serba hijau dan banyak kekayaannya itu terletak di muara Sungai Langat, di hujung barat daya Kuala Langat, Selangor. Di kota itu arus dingin permukaan buminya mengalir sebuah sungai memasuki selat Melaka yang jaraknya beberapa batu dari tempat itu. Menurut pengkaji sejarah, Sultan Abdul Samad membangun kota tersebut dari tahun 1859 hingga 1898. Bagi yang melintasinya, Jugra memiliki sebuah bukit yang tersergam indah yang dahulunya pernah dijadikan tempat bersemayam keluarga dan kerabat Sultan, yakni bukit yang dikenal sebagai Bukit Jugra. Di puncak Bukit Jugra itu telah dibina sebuah Rumah Api bagi membantu ahli pelayaran berlabuh ke kota itu dengan selamat terutamanya pada waktu malam. Jugra merupakan titik geografis yang utama dalam mencorakkan ekonomi negeri Selangor ketika itu dimana hasil bumi seperti bijih timah dibawa keluar dari Sungai Langat dan Jugra adalah tempat membayar cukainya. Barangkali Jugra dahulunya sebuah kota antarabangsa yang wataknya dijadikan sebagai arus lalu lintas utama maritim di selat Melaka seperti pedagang dan prajurit, para tukang dan sarjana yang pulang-pergi membawa seribu hasrat dan tujuan kehidupan..


Dalam cuaca yang baik, itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Jugra itu. Kedatangan saya ke sana awalnya atas jemputan dua penyelidik UKM iaitu Hadi Harman Shah dan Shaharuddin Idrus yang ingin meneroka dan mengenalpasti lokasi tapak dan bangunan lama yang dikatakan pernah berkisah di bumi Jugra ini. Sambil memandang sepi ke arah Bukit Jugra, terfikir oleh saya tentang latarbelakang dan wajah Jugra pada hari ini di mana dalam menceritakan kembali segala ‘putih-hitam’ dan ‘bangun-jatuh’ nya kota bersejarah itu menurut saya belum ada lagi usaha yang menyeluruh dilakukan sehingga dapat dibukukan dan boleh dijadikan rujukan untuk generasi akan datang. Oleh itu, tergerak saya ke Jugra ini untuk melihat dan mengenal kota lama ini dengan lebih dekat dengan menggunakan sedikit pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sewaktu membuat penyelidikan kota-kota lama sedikit masa dahulu.

Setibanya di lokasi, tidak banyak ‘tanda istimewa’ yang dapat memberikan petunjuk bahawa tempat itu dahulunya pernah berdirinya sebuah kota bersejarah. Hanya papan tanda penunjuk arah bagi menyatakan kedudukan bangunan seperti masjid, istana dan penjara lama. Saya cuba membaca dan memerhati kawasan sekeliling, ternyata perubahan ruang dan waktu yang panjang barangkali telah menenggelamkan bukti-bukti penting yang dapat dijadikan asas bagi mendapatkan petunjuk yang lebih jelas. Berdasarkan pengalaman lepas, segala sesuatu yang ingin kita ketahui tentang alam ini adalah lebih baik dimulai dengan mendengar (melalui petunjuk), melihat (melalui bukti) dan membezakan keadaan sekeliling menggunakan rasa hati yang memungkinkan kita untuk menjumpai akan jejak iaitu tinggalan sejarah, kronologi dan rahsia disebaliknya.

Di sebalik sebuah penjara

Kami tiba di satu kawasan bangunan yang dahulunya dikatakan bekas penjara lama yang hari ini telah dimodenkan, diberi nama Muzium Insitu Jugra. Bangunan lama yang hampir keseluruhannya digantikan baju baru dan tidak nampak lagi ciri-ciri yang dahulunya ia pernah digunakan sebagai sebuah ruang tahanan untuk si pelaku jenayah. Dalam pengamatan saya, bangunan ini boleh dijadikan pencetus dan petunjuk bagi menyelongkar kewujudan Kota Melayu Lama di bumi Jugra ini. Sederhananya, seorang sultan Melayu lama dihujahkan tidak akan membina bangunan batu sebesar itu untuk mengumpulkan kesemua pesalah kota dan sekiranya ada, tentulah si pesalah akan dihukum dengan menggunakan hukuman yang setimpal mengikut undang-undang Melayu Islam yang adil. Sekiranya ada pun tidak semestinya pesalah itu terus dipenjarakan sebelum dibuktikan kesalahannya. Simbolnya penjara itu seakan-akan menunjukkan terdapatnya ramai penghuni kota yang berbuat salah atau cuba menentang (memberontak) kerana  tidak bersetuju dengan dasar-dasar yang telah ditetapkan si pemerintah pada ketika itu. Jika direnung lagi, bangunan itu pastinya didirikan oleh pihak British berdasarkan rekabentuknya yang kolonial dan jauh dari waktu itu barangkali ada sesuatu di atas tapak itu yang menjadi minat pihak British yang sanggup datang belayar ke situ untuk menduduki dan menguasainya. Demikianlah, sebuah telaga lama yang masih wujud bersebelahan bangunan itu dan secara esensial tujuan adanya ia pastilah untuk membekalkan air bersih untuk kegunaan harian penduduk asal yang tinggal di kawasan itu. Jadi, ia memberi dan menghampiri petunjuk seterusnya di dalam pemerhatian ini bahawa barangkali terdapatnya kota lama yang dahulunya pernah bertapak di Jugra ini. Kenyataannya lagi bahawa kawasan ini adalah berdekatan dengan sungai yang menjadi lebuhraya kapal pedagang samudera dan salah satu elemen penting dalam melewati kesan sebuah kota Melayu lama adalah dianggap ia sebagai sebuah pusat pelabuhan dan perdagangan pada zamannya itu. 




Menginjakkan kaki di tapak ini, membuatkan saya terus terfikir apakah yang memanfaatkan mereka membuat bangunan batu (penjara lama) di tempat yang sejauh ini. Seperti halnya kajian kota Melayu lama di lembangan sungai di Perak Tengah yang saya jalankan dahulu mengapa jauh sekali diletakkan makam-makam (di ladang) dan masjid lama (di hutan) dari pekan dan bandar yang dibangunkan hari ini? Saya memandang ke bukit Jugra, saya sedang cuba memasuki pintu sejarah tetapi kuncinya masih belum benar-benar ditemui dan dapat digunakan. Kami meninggalkan Muzium Insitu Jugra menuju ke lokasi seterusnya.

bersambung..

Berikan Komen