Umar bin Khatab salah seorang dari pembesar kaum Quraisy yang sangat berwibawa, berdisiplin,keras jiwanya, berkemahuan yang tegas serta ditakuti lawan mahu pun kawan. Selama enam tahun dari kenabian Muhammad SAW, Umar bin Khatab adalah musuh Islam yang sangat kejam. Ketika di lihat sewaktu pergolakan antara kaum Quraisy dengan kaum Muslimin yang tiada reda-redanya, semakin lebar dan bertambah benci dendam pihak Quraisy terhadap pertambahan orang-orang yang masuk Islam. Kondisi yang sedemikian telah membuatkan Umar terfikir untuk menghentikan perselisihan itu dengan cara “menghabiskan jiwa Muhammad” itu sendiri. 

Dengan pedang tersisip di pinggangnya pergilah dia dengan penuh bersemangat mencari Nabi Muhammad yang saat itu berkumpul di rumah Arqam bersama para sahabat. Di tengah perjalanan Umar bertemu dengan Nu'aim bin Abdillah dan bertanya kepada Umar, “ mahu ke mana engkau ya Umar?” 

Langsung dijawab dengan tegas, “Mahu membunuh Muhammad.” 


“Mahu membunuh Muhammad?” dengan nada mengejek dari Nu'aim yang selanjutnya berkata, “Engkau menipu dirimu hai Umar; apakah Bani 'Abdu Manaf akan membiarkan engkau berjalan di muka bumi kalau engkau sudah membunuh Muhammad? Lebih baik engkau kembali ke rumahmu per-baikilah isi rumah mu terlebih dahulu; tidakkah engkau tahu iparmu Said bin Zaid dan saudaramu Fatimah sudah masuk Islam menjadi pengikut Muhammad?” 

Mendengar perkataan Nu'aim ini, darahnya menggelagak dan mukanya merah padam marah bercampur malu, lantas langsung pulang bergegas-gegas untuk menemui adiknya Fatimah yang kebetulan sedang belajar Al-Qur'an daripada Khubbab bin Aral. Ketika diketahui bahawa 'Umar datang maka Khubbab bersembunyi sedangkan Fatimah membukakan pintu sambil melipat-lipat surah Al-Qur'an di tangannya. 

“Wahai Fatimah, suara apa yang saya dengar tadi itu?” dengan nada marah. 

“Tidak apa-apa,” serentak jawapan Fatimah dan suaminya. 

Umar langsung marah-marah, membentak, “Saya tahu bahawa kamu berdua telah menjadi pengikut Muhammad,” sambil mengangkat tangannya hendak memukul Sa'id iparnya. 

Namun Fatimah langsung berdiri maju melindungi suaminya sehingga ia sendiri terpukul sampai berdarah. “Benar, kami telah memeluk Ad-Diinul Islam,” katanya menentang pukulan Umar itu. “Perbuatlah apa yang kamu kehendaki.” 

Menghadapi pendirian yang teguh dan tabah dari seorang perempuan seperti itu Umar pun bersurut dengan perasaan menyesal bercampur kasihan ia kembali memujuk saudaranya itu dan berkata, "Apa di tanganmu itu, cubalah perlihatkan kepadaku.” 

“Saya takut nanti engkau hinakan,” kata Fatimah. 

Langsung Umar mengatakan dengan sumpahnya berjanji tidak akan berbuat demikian. 

“Baik, kalau begitu, mandi bersihlah dulu,” sahut Fatimah. 

Selanjutnya, Umar menuruti permintaan adiknya dan barulah dibacakan kepadanya beberapa baris ayat seraya mengatakan, “Sungguh indah ayat-ayat ini; tidak pernah saya jumpai tuturnya sungguh tidak tertandingi oleh syair-syair yang paling tinggi dan luhur sekali pun.” 

Ayat yang di baca Umar ialah Al-Qur'an, Surah Thoha, Ayat 1-6, 

Thaahaa (1). Kami tidak menurunkan Al-Qur'an ini kepada kamu agar kamu menjadi susah (2). Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah) (3). Iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi (4). (Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah Yang ber-semayam di atas 'Arsy (5). KepunyaanNyalah semua yang ada di langit semua yang di bumi, semua di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah (6). 

Selesai membaca ayat-ayat tersebut di atas, sungguh kagum sehingga ia menetapkan bahawa bukan manusia yang menyusunnya, juga bukan Muhammad, kerana tidak dapat di susun perkataan-perkataan yang seindah itu dengan sarinya yang amat tinggi, bahasanya yang sedikit tapi maksudnya sangat luas. 

Ketika Khabbab mendengar ucapan Umar, keluarlah dia dari persembunyiannya dan dengan gembira ia berkata, “Hai Umar saya harap engkaulah yang telah ditentukan Allah dalam do'a Nabi dan Rasulullah Muhammad SAW. Kelmarin saya mendengar Nabi berdo'a, "Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar Abul Hakam bin Hisyam atau dengan Umar bin Khatab" 

“Di mana Muhammad sekarang, saya hendak berjumpa,” katanya. Pedangnya disandangnya kembali dan ia pun terus berangkat menuju ke rumah Arqam di mana tempat Rasulullah sedang berada dengan para sahabat. Tiada terkira cemas dan terkejutnyanya para sahabat yang berada di situ ketika melihat Umar datang dengan pedangnya. Tetapi kecemasan, ketakutan dan terkejutnya mereka itu ditegarkan dan disemangatkan semula jiwa oleh Hamzah dengan berkata, "Suruh dia masuk, kalau dia menghendaki baik kita bagikan kebaikan kepadanya, dan jika dia menghendaki jahat kita bunuh dia dengan pedangnya sendiri." 

Kemudian Rasulullah SAW sendiri bersabda, “Bawalah dia kemari,” dan Umar pun masuk, lalu dipersilakan duduk. Selanjutnya Rasul bertanya, “Apa tujuan Umar datang ke mari, apa yang kamu harapkan hai Umar?” 

Umar menjawab, “Saya datang untuk menyatakan bai’at, menyatakan Islam dan Iman kepada Allah dan RasulNya.” 

Dengan penuh kegembiraan Rasulullah SAW yang tidak terhingga bersyukur kepada Allah SWT, langsung Rasulullah mengucapkan takbir, “Allahu Akbar!” 

Tiadalah dapat dibayangkan suatu kegembiraan para sahabat dan kaum Muslimin menyebut Islamnya Umar bin Khatab sekaligus menambah kekuatan perjalanan Islam dan umatnya. 

Dengan bertambahnya kekuatan yang berkualiti, maka dengan berdirinya Hamzah dan Umar dua sekawan yang tiada taranya itu maka umat Islam dan Diinullah mendapat benteng perlindungan yang sangat kuat sehingga perjuangan antara kaum Muslimin dengan kaum kafir Quraisy berubah menjadikan kaum Quraisy jatuh semangat dan diselimuti dengan rasa kekhuatiran yang selalu membayangi perjuangan kaumnya. 

Sedangkan di pihak kaum Muslimin atas hidayah dari Allah SWT, yang selama ini melakukan ‘ibadah solat sembunyi-sembunyi kerana rasa takut atas penganiayaan kafir Quraisy telah berubah dengan merdeka menjalankan ‘ibadahnya secara terang-terangan namun masih berhati-hati dan tidak sembrono, kerana pihak lawan masih kuat permusuhan bahkan semakin sakit hati dengan masuknya Umar dan Hamzah yang merupakan dua kekuatan yang tidak diragukan oleh mereka. Para kaum Muslimin tidak lagi solat di celah-celah bukit di luar kota, tidak lagi di lorong-lorong kecil tetapi sudah berani solat hingga ke dalam kota di sisi Ka’abah. Sekali pun berimannya Hamzah dan Umar, tidak bererti kaum Islam telah mengurangi ruh jihadnya malah semakin bersemangat tinggi perjuangan mereka. 

Di pihak kafir Quraisy, mereka mempropagandakan pemboikotan dan menabur isu fitnah dengan makin berleluasa untuk menjauhkan perhatian masyarakat dari Nabi Muhammad SAW. Masyarakat umumnya tertarik dengan isi Al-Qur'an tetapi tidak mahu masuk Islam dan memeluknya kerana mereka umumnya fanatik sekali dengan kedudukan keduniawian (pangkat dan harta) dan tegar berpegang kepada agama nenek moyang di samping ada rasa kedengkian yang mendalam terhadap Islam. Namun apa yang paling mereka inginkan dengan kemahuan yang kuat adalah tentang apa sahaja yang terpedaya oleh mereka akan kesilauan dan keasyikan kehidupan duniawi. Jiwa mereka hanya dapat melihat keadaan yang dapat di sentuh dan dibuktikan dengan panca indera sebagai mana teknologi moden sekarang ini, bertuhan kepada hasil ciptaan dan pemikiran ilmiah sendiri. Mereka hanya dapat berfikir dan melihat bahawa alasan atas perbuatan baik dan jahat itu tidak lebih dari hanya sekadar yang diperolehi seorang manusia selagi masih hidup di atas dunia ini. 

Oleh kerana itu kebanyakan ayat-ayat yang turun di Makkah pada permulaan risalah adalah untuk memperbaiki jiwa mereka sedemikian yang telah rosak, tercemar dan bersifat kebinatangan adalah berpunca dari pola hidup yang serakah, tamak dan bertuhankan hukum rimba semata-mata. Orang lelaki boleh beristeri sejumlah menurut kemahuan hati dan nafsu mereka; darjat dan martabat perempuan tidak berharga; kekayaan menjadi ukuran status sosial di kalangan masyarakat; rakyat harus mengabdi atau menjadi hamba kepada kepentingan pemerintah; itulah pola atau cara hidup dan berkehidupan orang Jahiliyah. Kehidupan pola jahiliyah ini boleh berlangsung bila-bila masa sahaja dan di mana jua di dunia ini selama pola fikirnya sama seperti pola tersebut di atas, sedang ciri-ciri tersebut diertikan juga pola kehidupan yang serupa thagut iaitu suatu fahaman dan  ideologi yang selain daripada Ad-Diinul Islam. 

Sudah sepantasnya Rasullullah SAW memperingatkan mereka atas kesesatan mereka itu dari lumpur keberhalaan kepada jalan Allah Yang Maha Esa dan Kuasa. Bagi memperbaiki jiwa bangsa yang sudah parah keperibadian dan budayanya itu, maka tidak hairanlah Nabi dan umat telah bersiap sedia untuk menahan risiko kelaparan, di boikot, di buru, di usir dan dipisahkan oleh kaum keluarga mereka. Kaum Muslimin perlu sentiasa tetap aktif mencari cara perlindungan yang bijaksana, jitu dan relevan di zaman itu agar Diinullah tetap hidup dan kaum Muslimin sentiasa tenang, berdisiplin, menyusun program jangka pendeknya dan jangka panjangnya; jangka pendeknya Madinah, jangka panjangnya adalah tegaknya aturan Allah (Diinullah) di bumi Allah ini dan wajib ia berlaku sepanjang zaman.

5 Respon setakat ini.

  1. Unknown says:

    menitis air mata baca entry nih..syukran .. satu pengisian rohani yg baik..

  2. Unknown says:

    Alhamdullillah..

  3. Assalam..Mohon copy saudara...

  4. sohoque says:

    Subhanallah.. kisah yang sungguh bermotivasi.. izinkan sy petik kisah ini tuan

Berikan Komen