Malam ini di langit tidak ada satu pun kelihatan bintang. Gelap dan sunyi, hanya bunyi cengkerik yang bernyanyi zikir dalam alunan merdu bahasanya. Di tambah dengan suhu yang dingin, keadaan sebegini sememangnya dapat memberikan ketenangan jiwa dan kelapangan fikiran kepada orang yang sedang menikmatinya. Entah berapa lama lagikah agaknya masih ada ruang yang sebegini ? Sedang keributan manusia mengejar harta dan kemajuan,sungguh dan telah banyak kehidupan alam ini di korbankan..Hari ini berbanding sepuluh tahun lalu banyak benar perbezaannya. Tidak kiralah apa ruang dan bentuk, sejujurnya tidak dapat di tolak bahawa bumi ini sudah hampir sampai ke penghujung usianya. Samalah juga apa yang terjadi pada biji,isi dan kulit bumi itu sendiri, semuanya telah ada ketetapan (nyawa) yang telah di tentukan waktunya.. (al-imran,3:145). Bagi penulis, “nyawa” itu bukan sekadar kepada apa yang dinamakan hidup, malah sesuatu yang bersifat benda (bukan makhluk) juga punya nyawa atau jangka hidup yang tersendiri. Misalnya yang dikatakan nyawa bukan bernyawa itu adalah sebuah rumah.Dari segi pemahamannya, sesebuah rumah (bangunan tempat tinggal) itu sememangnya tidak bernyawa (tidak hidup), namun ia tetap punya jangka hayatnya.Hidup (bernyawa) sesebuah rumah itu kerana ada penghuninya dan bila sudah sampai waktu, sebesar mana atau cantiknya rumah itu akhirnya pasti akan jadi usang dan runtuh.Bezanya adalah waktu, sama ada lama atau cepat dalam sesuatu ruang dan keadaan bagaimana ia mempertahankan usianya. 


Apakah yang menyebabkan sesebuah bangunan itu bertahan lama? Anehnya ada bangunan yang mampu bertahan sehingga mencapai ratusan tahun malahan ada juga yang ribuan tahun. Ada di antaranya dapat di saksikan orang hingga ke hari kini. Sebenarnya penulis telah membawa persoalan ini sejak beberapa tahun yang lalu terutamanya di medan kuliah suatu masa dahulu.Perbincangan ini di lihat menarik dan penulis begitu mahu untuk memanjangkan keilmuan tersebut di ruangan blog ini. Ayuh kita teroka ! 
Masih banyak bangunan lama yang tersergam kukuh di atas muka bumi ini. Seringkali sesuatu bangunan lama dan utuh yang ditinggalkan pasti pernah ada disebaliknya satu bahagian sejarah ketamadunan manusia yang juga lahir di situ.Tidak dinafikan bahan atau materi yang digunakan merupakan salah satu faktor mengapa dikatakan sesebuah bangunan itu mampu bertahan lama. Contohnya, jika di baca dan di kaji bangunan kuno di nusantara kebanyakkannya didirikan menggunakan bahan alam semulajadi. Contohnya kayu kayan yang kuat dan batu-batuan dari gunung berapi. Maka tidak hairanlah jika ilmu praktik (pertukangan dan kemahiran memahat) dalam membina bangunan telah lama wujud bagi menghasilkan bangunan yang kukuh dan tahan lama. 

Satu lagi teoritis berkenaan ilmu bagaimana sesebuah bangunan mampu bertahan lama ini dan jarang dibincangkan adalah dinamakan sebagai Seni bina Kerana Tuhan. Apakah maksudnya? Sebelum di ulas lebih lanjut ada baiknya jika penulis memberi sedikit pengenalan dahulu terhadap maksud seni bina. Ini bagi memudahkan pembaca yang kurang faham atau tidak ada latar belakang berkenaan seni bina. 

Seni bina adalah satu fenomenon yang kompleks kerana ianya adalah terjemahan sebahagian dari definisi architecture sebagai “the art and science of building”. Penggunaan istilah seni bina meninggalkan, atau tidak mengambilkira sains bina maka untuk memahami keseluruhan penghasilan architecture ini, lazimnya digunakan istilah arkitektur (Indonesia, arsitektur) yang juga mendeskripsikan satu bidang dari mana si arkitek itu dilahirkan. Dari kacamata arkitektur, seni bina dikenali dengan pelbagai nama seperti "arkitektur pribumi, arkitektur tak bernama, arkitektur spontan, arkitektur setempat, arkitektur luar bandar" atau "arkitektur tanpa arkitek". 

Oleh kerana arkitektur sentiasa berubah akibat dari perubahan teknologi dan keadaan manusia di bumi sebagai contoh, definisinya turut berubah sama. Dari pengumpulan definisi arkitektur di about.com kita dihidangkan dengan sepuluh definisi seperti berikut: 

1. bangunan atau struktur yang dibuat manusia. 

2. bangunan atau struktur buatan manusia yang penting, besar atau sangat kreatif. 

3. objek yang betul-betul direkabentuk seperti kerusi, sudu dan cerek teh. 

4. rekabentuk untuk bandar, pekan, taman atau landskap. 

5. seni atau sains merekabentuk bangunan, struktur bangunan, objek dan ruang luaran. 

6. stail bangunan atau kaedah 

7. pelan untuk mengorganisasi bangunan 

8. aliran informasi di laman web. 

9. rekabentuk terancang, apa juga sistem. 

10. susunan sistematik informasi atau idea. 

Jumlah definisi ini terus bertambah dari masa ke semasa. Lebih kompleks lagi, definisi arkitektur ditambah lagi dengan definisi khusus yang digunapakai hasil dari pengalaman arkitek sendiri seperti di bawah: 

" Arkitektur ialah satu maha semangat kreatif yang hidup, dari generasi ke generasi, alaf ke alaf, bergerak kental, mencipta, mengikut fitrah manusia dan kondisinya yang terus berubah. Itulah sebenarnya arkitektur.
                         Frank Lloyd Wright, In the Realm of Ideas, Southern Illinois U, March 1988 

Kekompleksan memahami arkitektur ditambah lagi dengan tidak adanya satu piawai yang menentukan apa arkitektur itu. Dalam konteks perubahan inilah kita dapati ada usaha untuk menguniversalkan seni bina, khususnya seni bina Melayu, dengan membawa prinsip-prinsipnya ke dalam arkitektur. Pun demikian, sama ada seni bina atau arkitektur, kesemua definisi-definisi arkitektur di atas boleh dilihat menggunakan Model Agama Samawi (akan di bincang pada penulisan yang selanjutnya) iaitu mempunyai tiga elemen utama yang saling terkait iaitu panduan, orang dan tempat. Arkitektur mahupun seni bina dapat didefinisikan di sini sebagai idea, model dan/atau ruang dan bentuk yang diwujudkan di sesuatu tempat, berdasarkan panduan tertentu, khusus untuk keperluan si penguasa tempat tersebut. 

NIAT 

Berbalik kepada asal pokok perbincangan, sesuatu yang di reka dan di bina pasti ada niat yang menyertainya.Sekecil-kecil niat contohnya, di bina manusia sebuah pondok kecil di dalam hutan yang tebal paling tidak untuk perlindungan dari cuaca dan bahaya. Apatah lagi jika sebuah bangunan yang di bina dengan skala yang besar, kukuh dan mampu bertahan lama pastilah ia datang dari pemilik yang mempunyai niat dan tujuan yang besar. Teoritisnya, sesuatu yang di bina dengan tujuan yang baik dan suci atau untuk mencapai keredhaan Yang Maha Esa pastilah mampu memberi kesan yang sempurna pada hasilnya. Bahasa mudahnya niat membina sebuah bangunan kerana Tuhan dan tidak bersifat peribadi ( kerana ingin mendapat keuntungan semata) akan menghasilkan sebuah struktur bangunan yang kukuh dan boleh bernyawa panjang. Makna penyataan inilah yang diterjemahkan penulis sebagai seni bina kerana Tuhan. 

LAKU 

Secara sederhana, seni bina kerana Tuhan seringkali di kaitkan dengan bangunan yang berbentuk peribadatan atau kediaman. Ruang dan bentuk di bina dan dikembangkan untuk menuju kehendak Tuhan. Asas bangunan di bina dengan keyakinan (keimanan) dan tiangnya di tegakkan dengan luhur agama. Bangunan didirikan tanpa lukisan kerja atau tiga dimensi.Jika punya raja (pemilik), dialah sang arkitek,dialah jurutera dan dialah juga perancang utama.Rakyat adalah tukang bina yang sangat taat dan setia. Bangunan yang didirikan di bina seikhlas hati dan sedalam jiwa, sangat terperinci dan setiap kelahiran ruang dan bentuk punya maksud tersendiri. Yang pasti, bangunan yang didirikan tidak punya ketetapan yang mesti disiapkan pada waktunya. Adakalanya memakan masa bertahun-tahun malahan ada yang di warisi pembinaannya pada generasi yang berikutnya. Ia seakan-akan pembinaan turun-temurun dan matlamatnya tetap sama iaitu untuk mencapai keredhaan Tuhan keseluruhannya. 

HASIL 

Maka tidak hairanlah seni bina kerana Tuhan ini mampu bertahan lebih lama. Paling sederhana lihatlah bangunan Ka’abah di Mekah sebagai contoh. Bangunan pertama yang didirikan di atas muka bumi ini adalah sebagai bukti penghambaan manusia terhadap Rabb nya. Bukti nyata bagaimana Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina semula bangunan tersebut atas dasar perintah dari Allah SWT, selepas melewati hampir ribuan tahun bangunan tersebut masih dapat di guna sebagai pusat peribadatan ( Qiblat dan tawaf) umat Islam hingga ke hari ini. Malah bagi bukan Islam terdapat juga seni bina yang di bina atas dasar kepercayaan kepada Tuhan atau kuasa alam seperti contoh bangunan Piramid di Mesir, Angkor Watt di Kemboja,Candi Borobudur di Jawa Indonesia dan Kuil-kuil Batu di Sumatera Indonesia. Apa yang unik, bangunan peribadatan kuno (agama Hindu) yang di bina di dalam kepulauan Nusantara,rata-ratanya mempunyai reka bentuk yang hampir serupa (kerana anutan agama yang sama) walaupun masing-masing candi di bina di tapak yang tinggi dan di pisahkan oleh lautan. Ini dapat di lihat melalui rupa bentuk candi-candinya yang berbentuk kon bagi melambangkan simbol terhadap bangunan yang seakan-akan menunjuk ke arah langit iaitu tempat bertahta Tuhan atau dewa dewi di singgahsananya (kosmologi). Hakikatnya sama,manusia hanya hamba yang menuruti perintah Tuhan yang Maha Kuasa. 


Di alam Melayu, penulis suka memberikan contoh tentang prinsip pembinaan Rumah Melayu. Ada satu bahagian pada rumah yang mencerminkan betapa seni bina kerana Tuhan turut diterjemahkan dalam sistem pembinaannya. Menurut penulis, ia dapat di lihat pada pemasangan Tunjuk Langit pada bahagian penjuru atas segi tiga bumbung. Tunjuk Langit sebagai simbol mewakili seisi dalam rumah iaitu sebesar dan secantik mana pun Rumah Melayu yang di bina dengan keindahan ukiran kayunya, ia tetap menunjuk ke langit bagi memperlihatkan sifat kecil diri, berdisplin dan tunduk patuh kepada kuasa yang lebih besar iaitu Allah yang Maha Perkasa.Jika diteliti begitulah sekecil-kecilnya peranan seni bina dalam menghilangkan rasa riak, megah dan bangga kepada manusia sebagai pemilik yang sementara.


Berikan Komen