" Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan nilai segala perbuatan kebaikan maupun keburukan. Maka barangsiapa berniat melaksanakan suatu kebaikan lalu tidak melaksanakannya, niscaya Allah SWT akan mencatat pahalanya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan sempurna. Dan bila seseorang berniat melakukan sesuatu kebaikan lalu ia melaksanakannya, niscaya Allah SWT akan mencatat pahalanya di sisi-Nya sebagai perbuatan sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus, bahkan berlipat-lipat ganda banyaknya. Dan bila seseorang berniat melakukan suatu kejahatan lalu ia tidak melaksanakannya, Allah SWT. akan mencatat pahalanya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan-sempurna, dan bila bemiat melakukan suatu kejahatan kemudian ia melaksanakannya pula, maka Allah akan mencatatnya di sisi-Nya sebagai satu kejahatan." (Hadits)


Secara lumrahnya boleh dikatakan apa pun perbuatan yang dilakukan manusia melainkan tersemat di dalamnya suatu unsur yang mendorong dirinya untuk melakukan perbuatan tersebut. Dorongan yang tersemat di dalam hati inilah, yang boleh dikatakan pasti ada dalam setiap perbuatan manusia, dimaknakan ia sebagai niat. Jadi, niat secara sederhana merupakan faktor utama yang mendorong serta meransang seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan dan faktor pendorong ini juga akan tetap ada walaupun seseorang itu tidak melafazkannya. Dalam konteks ini, manusia dalam setiap apa pun amalan atau perbuatan yang ingin dilakukan mestilah dimulai dengan niat  iaitu merupakan paksi yang mendasari setiap perkara yang dilakukan dan hasilnya pula mestilah sama seperti apa yang diniatkan.


"Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya, dan bagi setiap orang ganjaran sesuai dengan niat yang menyertai perbuatannya itu. " (Hadits Nabi)
Justeru, apakah niat anda belajar? Ramai pelajar yang duduk di kerusi dalam kelas atau kuliah pada hari ini belum jelas niatnya untuk apa mereka berada di situ. Sebagai seorang pelajar Islam menjadi keutamaan baginya untuk meluruskan niat dalam apa juga perkara yang ingin dilakukannya. Maka tidak hairanlah jika dikatakan kebanyakkan pelajar dewasa ini tidak konsisten atau kurang memberi tumpuan dalam pembelajaran kerana niat belajarnya masih samar dan belum dibentuk untuk menjadi seorang yang alim atau pelajar yang berilmu. Seringkali pelajar hanya di isi mindanya untuk belajar rajin-rajin, lulus ujian dan mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi tidak ramai pelajar di ingatkan bahawa mempelajari ilmu itu adalah satu ibadah, ilmu di tuntut untuk di manfaatkan dan belajar dengan ikhlas demi mencari dan mencapai keridhaan Allah SWT.

“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.”
(al-Baqarah, 2:207)

Niat tidaklah asing bagi seorang pelajar Islam. Semenjak dari kecil lagi kita sebenarnya sudah dibiasakan dengan belajar niat sebelum melakukan sesuatu ibadah. Contohnya apabila mahu sembahyang lima waktu atau berpuasa di bulan Ramadhan, sebelum melakukannya sering diingatkan supaya tidak lupa untuk berniat supaya sempurna ibadah yang dikerjakannya. Namun selain dari itu, amat jarang umat Islam menjadikan niat sebagai kebiasaan sebelum melakukan sesuatu perkara sama ada untuk belajar, bekerja, membuat keputusan atau sebagainya. Begitulah besarnya keutamaan niat sebelum melakukan apa-apa perbuatan atau amalan sehinggakan Rasullullah SAW pernah bersabda :

"Niat seorang Mukmin lebih utama daripada amalnya. "

Maka, masih belum terlewat untuk meluruskan niat. Walaupun sesi pengajian sudah bermula atau berada dipertengahan semester, seorang pelajar Islam perlu ada keazaman untuk sentiasa muhasabah dan memperbaiki diri dengan meletakkan matlamat untuk belajar pada niat yang betul dan ikhlas. Sebaik-baiknya niat yang mendasari perbuatan menuntut ilmu adalah kerana ia merupakan suatu ibadah yang diridhai Allah SWT dan sudah pasti ia akan memberi kesan yang baik dalam pelajaran dan impak langsung terhadap keutuhan rohani pelajar Islam tersebut. 

Berikan Komen