Setiap hari manusia bangun (hidup) dari tidur yang lena setelah dimatikan untuk seketika pada malamnya. Rutin kehidupan manusia pula setelah bangun dari tidur, hampir ke semuanya bergegas untuk menyelesaikan perkara yang tertangguh, mengikuti jadual belajar atau kerja yang telah diaturkan, mencari rezeki untuk menampung kehidupan dan mengharungi pelbagai tugasan dan aktiviti yang berbeza setiap hari. Di dalam lautan kehidupan manusia itu sama ada yang sedang berdiri, bergerak dan berlari ternyata kita juga berada di situ bersama-sama mereka yang sedang mencari kepastian hidup.

Waktu semalam (kanak-kanak) kita seronok bermain dan berlari, hari ini (remaja) kita sibuk mengikuti kuliah di universiti dan esok (dewasa) kita kepenatan bekerja mencari rezeki. Begitulah cepatnya perjalanan waktu. Tanpa disedari usia semakin senja dan bagi yang membina keluarga, perhatikanlah anak-anak kecil yang ke sekolah sedang mereka baru bermula dan akan mengulangi pusingan bulatan hidup yang sama. Prinsipnya mudah, kerana dari dahulu hanya orang yang  bersilih ganti tetapi kehidupan mereka tetap tidak pernah berubah kerana hidupnya tadi adalah masih di tanah (ruang) dan sistem (aturan) yang sama. 

Apa yang hampir pasti, manusia semakin sudah tidak mahu ambil peduli lagi tentang tujuan penciptaan di dunia ini. Jika direnungkan bahawa akhir usianya manusia kebanyakkannya bagai tiada ertinya dan kembalinya jasad ke tanah seakan-akan pergi begitu sahaja. Jika sekarang di tanya, apakah tujuan hidup anda di atas muka bumi ini ? Adakah untuk sekadar mengisi ruang dan waktu untuk kejayaan menggengam ijazah atau mengejar gelaran, harta dan juga pangkat ? Pengalaman penulis apabila bertanyakan soalan sedemikian kepada sebilangan  pelajar Islam, kebanyakan mereka tidak dapat menjawab dan lebih berdiam diri kerana belum ada jawapan dalam diri mereka. Namun masih ada yang yakin menjawab iaitu tujuan hidup ini adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi. Alhamdullillah.

“ Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.” (Al-Anbiya, 21:16)

Pastilah tidak pernah sia-sia kejadian manusia oleh Allah SWT di atas dunia ini. Apatalagi jika seekor semut hitam yang bergerak di atas batu hitam pada malam yang gelap, pasti ada sebab dan manfaat  kenapa ia diciptakan Allah. Kita ambil bukti yang sederhana, dari jutaan sperma ayah yang telah di lepaskan dan berkejaran ke ovum ibu hanya “satu” yang terpilih dan berjaya menembusinya. “Satu”  itu yang di pilih Allah SWT kerana sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Nya, “satu”  yang sanggup memikul amanah, “satu”  yang sedia untuk di uji dengan perintah dan larangan dan “satu”  itulah adalah kita yang wujud dan diberikan rezeki pada hari ini,


“ Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (Al-Insaan, 76:2-3)

Sejauh manakah kita pernah memerah akal memikirkan perkara sebegini? Sebagai seorang pelajar Islam adalah menjadi kewajiban bagi dirinya untuk mengaktifkan setiap neuron pada akalnya untuk berfikir dan merenung bahawa setiap sesuatu ciptaan itu pasti ada sebab tujuannya. 


Tidak berat jika dikatakan kehidupan manusia pada hari ini seakan-akan seperti di atur oleh satu sistem atas muka bumi yang berkuasa dalam menentukan perjalanan kehidupan mereka. Tanpa disedari, dalam kesibukan mengejar habuan dunia, manusia menjadi leka dan lupa akan amanah sebagai insan atau hamba kepada Tuhan yang menciptakan.

Jawapan kepada soalan tadi sebenarnya terletak pada keupayaan manusia menggunakan telinga untuk mendengar dan menghayati (ayat-ayat Allah SWT) dan menggunakan mata untuk melihat dan memerhati ( tanda-tanda dan bukti kebesaran Nya). Seandainya pernah mendengar bacaan  dari firman Allah iaitu surah Adz-Dzariat ayat 56, kalimat ini  merupakan pokok jawapan kepada anda untuk memahami tujuan hidup seorang insan secara keseluruhan.

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadah kepada)-Ku.” (Adz-Dzariat, 51:56)

Ayat di atas memberikan cukup penjelasan bahawa tujuan hidup manusia ini adalah tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk menyembah Allah yang Maha Esa. Bagaimana untuk memahaminya ? Adakah dengan melaksanakan rukun Islam yang lima telah menyempurnakan tujuan hidup seorang Insan ?

2 Respon setakat ini.

  1. alhamdulillah...=)

Berikan Komen