Pada waktu ini sedang berlangsung Pesta Buku Antarbangsa Kuala Lumpur 2012 (fb) bertempat di PWTC. Jika sesiapa yang masih belum berkesempatan untuk pergi, diingatkan hari ini 6 Mei 2012 adalah hari akhir pesta ini diadakan. Kali ini temanya agak menarik iaitu Buku : Dunia Tanpa Sempadan. Komentar penulis, temanya agak kena dengan tahun 2012 ini kerana kebelakangan ini perbincangan tentang isu-isu semasa yang menyentuh jiwa seluruh warga dunia sememangnya dapat di rasa bersama. Dari sekecil-kecil masalah seperti kekurangan ikan bilis hinggalah isu besar tentang satelit yang dah nak runtuh semakin menjadi keutamaan kepada semua orang untuk tahu, apatalagi ia melibatkan kehidupan yang dekat dengan manusia seperti pemanasan global dan hati, kebuluran jiwa dan akhlak, jualan runtuh pendidikan, politik yang menggila, peperangan ekonomi dan bermacam-macam lagi..Makanya, sempadan dalam dunia sebetulnya sudah terbuka tetapi realitinya masih ada hantu yang boleh jelma dan kerjayanya masih wujud itu menggaris sempadan! Mungkin kerana itulah gamaknya perlu ada bacaan buku-buku yang mengupas kulit dan isi-isi isu yang tak berkesudahan ini.Jadi, kalau nak cari buku-buku yang macam itu kenalah dahulu masuk tapak pesta, namanya " Pesta Buku ".

Masih cerita buku. Beberapa hari lepas ada keluar satu isu berkenaan "penulis buku" di berita televisyen petang. Seingat penulis, ia berkisar tentang liputan forum yang diadakan di tapak pesta dan topik yang dibincangkan sesuai pada tempatnya. Ia berkenaan Kekurangan Penulis Muda di Malaysia..(kurang lebih tajuknya begitulah).Tapi melihat orang ditemuramah (panel forum) begitu serius sekali dia memperkatakan isu ini. Penulis tidak pasti sejauh mana ketandusannya penulis muda pada hari ini kerana penulis juga masih baru di alam penulisan ini. Namun, perkara ini masih boleh di ukur dengan melihat jumlah pengeluaran buku yang terdapat di pasaran setiap tahun. Secara peribadi, pemerhatian penulis selama beberapa tahun ini kebanyakkan hasil penulisan yang terhidang di toko-toko buku adalah berbentuk novel,catatan peribadi,tokoh dan pelbagai lagi tetapi keseluruhannya masih sedikit.Ini belum lagi jika di sentuh buku-buku umum, ilmiah atau akademik yang di tulis oleh penulis muda sememangnya sukar untuk ditemui apatalagi ianya di tulis dalam bahasa ibunda (Melayu).


Penulis cuba mencari kepastian. Adakah benar negara sedang kekurangan penulis muda? Beberapa kata kunci berkenaan "kekurangan penulis muda" digunakan di beberapa mesin carian. Hasilnya penulis terjumpa satu artikel dari arkib utusan Malaysia yang bertarikh 22 Januari 2012. Seorang wartawan bernama Zahiruddin Zabidi antara warga penulis yang mengambil berat tentang isu ini.Tajuk artikelnya adalah Mencari Idealisme Penulis Muda. Pembaca boleh klik di tajuk tersebut dan boleh membuat penilaian sendiri.Cuma penulis tertarik dengan satu rangkap ayat dari artikel akhbar tersebut iaitu : 

"Namun hari ini kita kecewa apabila melihat penulis muda yang lesu tiada idealisme dan idea tuntas. Ini mungkin kerana mereka hanya lahir daripada kursus dan bengkel mewah dan bukannya bergelut dan bersepuh keringat sendiri."



Rupanya bukan sahaja isu kekurangan penulis muda malah penulis muda yang ada dikatakan tiada idealisme dan tuntas idea dalam menulis.Ini agak berat..mungkin itu hanyalah sekadar pendapat dari nya.Namun, jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Bagi penulis, isu seperti ini perlu di lihat secara menyeluruh (holistik) dan sekiranya benarlah hari ini masyarakat kekurangan penulis muda dan ketandusan idea menulis, kena baliklah kita kepada pepatah lama "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Masih belum terlambat, dari awal persekolahan lagi ilmu penulisan perlu di serap ke jiwa anak-anak, latih mereka apabila meningkat remaja dan hidupkan jihad menulis bila sudah dewasa.



Sebenarnya setiap orang adalah penulis.Hanya sekarang apa perkara yang nak di tulis ? Jika menulis kerana nama, maka dapatlah nama. Jika menulis untuk pengembangan ilmu, maka ilmu itu tidak pernah habis.Penulis pernah bertanya pada seorang ilmuwan yang hidupnya menulis kerana cintanya dalam menyampaikan ilmu. Dia punya beberapa buku yang sudah diterbitkan. Soalan yang ketika itu berat bagi penulis tetapi mudah bagi orang yang selalu menulis." Bagaimana nak mula untuk menulis ? " jawapannya, " owh itu senang sahaja, awak kena banyak membaca lah..Kalau tak membaca, bagaimana boleh menulis ? ".


Boleh tak membuat kesimpulan begini, orang muda di Malaysia kurang membaca, oleh itu Malaysia kekurangan penulis muda dan tuntas idea dalam menulis.Ikuti apa sebabnya di arkib utusan pada 26 Julai 2004 yang bertajuk Punca Orang Malaysia Kurang Membaca tulisan wartawan Zin Mahmud.

Berikan Komen