Pelajar : Maaf encik, saya tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberikan.. 

Pensyarah : Saya maafkan jika kamu memberikan alasan yang jujur dan benar 

Pelajar : Err..sebenarnya saya tak cukup masa. Jadual harian saya sangat ketat dan padat. 

Pensyarah : Apa masa kamu ada 12 jam sahaja ker? Cuba ceritakan apa aktiviti yang selalu kamu buat..saya sangat nak tahu ke mana dan banyak mana masa yang selalu kamu gunakan.. 

Pelajar : Err..mula bangun pukul lapan pagi (alamak solat subuh..), mandi setengah jam, siap-siap nak ke kuliah empat puluh minit…err..minum pagi..err…(malas buat sebenarnya..) 

Pengalaman sememangnya tidak pernah menipu. Boleh jadi ramai yang pernah mengalami situasi yang sama seperti di atas. Alasan tidak cukup masa atau tidak pandai mengurus masa bukan sekadar popular di kalangan pelajar saja malahan orang yang bekerja atau yang di beri tanggungjawab juga sering menggunakan jurus sebab yang sama bagi mempertahankan diri mereka daripada dimarahi majikan atau ketua.Soalnya,apakah benar kita ini sering tidak cukup masa? Adakah begitu sukar untuk mengurusnya? yang melalui pasti tahu jawapannya.. 




Di ruangan ini, penulis tidak berhasrat untuk memberikan penyelesaian bagaimana untuk mengurus dan menghargai masa. Kerananya penulis yakin ramai yang memiliki ilmu motivasi dan kaunseling telah banyak menulis bagaimana mengurus masa dengan cara yang bijak. Tidak cukup dengan itu, di bantu lagi dengan menyediakan contoh-contoh jadual harian supaya boleh di isi dan di ikuti di mana waktu tidur,makan dan bersenam boleh di atur supaya kerja lain dapat disempurnakan. 

Namun, apalah ada pada masa seandainya diri tidak pernah belajar untuk berdisplin dan di isi dengan perkara yang bermanfaat. 

“ Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut ?…”(al-Insaan,76 :1) 

Sejak diciptakan alam ini masa sememangnya telah tersedia ada dan sehingga ke hari ini pun masa sama sekali tidak pernah atau akan berubah walaupun sesaat kecuali dengan izin Allah. Masa bergerak atas ketetapan dari Rabb yang mengatur seluruh kehidupan yang ada pada langit dan bumi.Namun,di mana pun manusia berada sama ada pada masa lalu,masa sekarang dan masa depan telah di beri peringatan oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya : 

“ Demi masa”. 

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, 

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menta’ati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Ashr, 103 :1-3) 

Ayat di atas menjelaskan tentang manusia yang suka mengabaikan masa, sehingga bila mereka telah berada di masa yang berbeza (akhirat) mereka merindukan dengan penuh sesal akan masa yang telah ditinggalkan (dunia). 

“ Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin" (as-Sajadah, 32:12) 

Dalam konteks ini, penulis sebenarnya melihat satu bahagian yang seiring dengan perjalanan masa ini iaitu ruang dan waktu. Secara sederhana ruang dan waktu hanya akan bermakna bila ada manusia di dalamnya, tanpa itu, ruang dan waktu hanyalah sekadar ruang dan waktu (kosong). Jika di fahami, sesuatu perbuatan dan tindakan yang bernilai di sisi Allah SWT bagi seorang manusia itu apabila ia berada dalam sesuatu ruang dan waktu serta melaksanakan sesuatu yang bermanfaat (amal-saleh) atau bukan sia-sia. Ertinya ruang dan waktu dengan apa perbuatan yang dilakukan merupakan keterkaitan yang sangat penting dan erat. Mengabaikan atau tidak memperdulikan salah satunya akan mengakibatkan kehidupan seorang manusia tidak dapat di urus malahan boleh menjadi satu kesengsaraan. 


Justeru, pengistilahan masyarakat tentang penyataan “tidak cukup masa” atau “kurang pandai mengurus masa” ada baiknya perlu diperbetulkan semula. Penekanannya di sini bukanlah tentang masanya tetapi perkara apa yang telah diperbuat pada ruang dan waktu tersebut. Sebagai contoh, sekumpulan pelajar duduk berborak kosong di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola sepak di kaca tv. Mereka menghabiskan masa selama hampir dua jam di tempat tersebut.Sebetulnya mereka telah menggunakan ruang dan waktu itu dengan perkara yang tidak bermanfaat. Bagaimana jika mereka menggantikan ruang dan waktu itu dengan berbincang tentang soal pembelajaran dan peningkatan diri dalam hidup.Masa tetap sama tetapi cuma ruang yang berubah.Ruang sepatutnya di lebihkan dengan perkara yang mendatangkan faedah dan keberkatan.Tidak berat jika penulis katakan bahawa yang menjadi persoalan di sini bukanlah kerana “tidak cukup masa” tetapi yang jitunya adalah kerana “tidak cukup ruang”. Mungkin boleh di muhasabah, sehingga usia detik ini banyak mana ruang yang telah di isi dengan perkara yang memberi keamanan pada diri dan keluarga umumnya dan berjuang menyebarkan agama khususnya. 

Ada apa pada masa jika ruang dan waktu itu tidak ada nilainya ? 

……………………………… 

Ada apa pada usia jika harta dan diri tidak diletakkan pada tempat yang sebetulnya?

Berikan Komen